Monday, February 14, 2011

Gambar Guan Eng Berkopiah Pula Disebarkan

GEORGETOWN-
Gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memakai kopiah bersama Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan  Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain diedarkan kepada orang ramai di negeri ini.

Gambar yang diletakkan dalam Risalah yang dipercayai menggunakan teknik 'super impose' itu dikesan diedarkan sekitar kawasan Parlimen Balik Pulau sejak seminggu yang lalu - turut diedarkan di masjid-masjid, kampung serta tempat yang menjadi tumpuan orang ramai.

Mengulas perkara tersebut, Lim dalam satu kenyataannya percaya perbuatan tidak bertangunggjawab itu bertujuan jahat dan satu fitnah yang amat dahsyat.

Katanya, ia merupakan satu serangan pihak tertentu dalam usaha mereka memburukkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) selain mensabotaj perpaduan dalam PR.

"Pengedaran risalah ini bertujuan untuk menimbulkan kebencian dikalangan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan PR," kata beliau.

Kata Lim, beliau masih lagi waras dan mampu membezakan sesuatu yang patut dan tidak patut dilakukan berhubung sensitiviti agama.

Justeru beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terperangkap dengan dakyah jahat melalui risalah tersebut yang cuba mengambarkan beliau menghina orang Islam.

Bagaimanapun dikalangan pendokong PR negeri ini, fitnah membabitkan Lim Guan Eng seperti itu bukanlah kali pertama cuba dilakukan kerana sebelum ini Lim pernah didakwa menyembelih lembu korban sempena Aidiladha.

Justeru, dalam reaksi orang ramai yang menyokong PR di negeri ini kepada Harakahdaily, mereka menjangkakan serangan berbentuk provokasi dan propoganda lebih hebat dan dasyat akan terus dilakukan sehigga pilihan raya umum akan datang.

"Biasanya provokasi melibatkan sensitiviti orang Islam, seperti berkaitan sambutan Maulidur Rasul, bacaan ayat Quran, wang dari sumber haram dan seumpamanya kerana suasana sosio-politik negeri ini menjadikan perkara seperti itu lebih mudah mendapat perhatian.

"Dikalangan penyokong PR, fitnah seperti ini sangat difahami tetapi bagi orang biasa pimpinan PR perlu lebih banyak memberi penerangan supaya mereka tidak terperangkap," kata seorang pemerhati politik di negeri itu yang ditemui.

Antara isu yang pernah cuba dicetuskan di Pulau Pinang sebelum ini termasuklah isu pembatalan perarakan sambutan Maulidul Rasul, isu doa khatib dalam khutbah jumaat dan isu wang ehsan kepada warga emas dari sumber judi.