Wednesday, February 23, 2011

Kedah giat promosi 'Green Tourism' sebagai tarikan pelancongan baru

ALOR SETAR- 
Usaha bagi mempelbagaikan daya tarikan pelancong ke negeri Kedah dipergiatkan melalui pelbagai program yang telah direncanakan bagi mencapai matlamat menjadikan Kedah sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang amat menarik.

Exco Pelancongan, S. Manikumar yang mengulas mengenai daya tarikan ini berkata, Kerajaan Negeri sedang giat mempromosikan 'Green Tourism' dimana tempat-tempat menarik yang mempunyai keindahan alam hijau dan juga flora serta fauna akan diketengahkan.

"Banyak tempat-tempat menarik seperti Ulu Muda, Lembah Bujang di Merbok, Sungei Sembeling dan juga Gunung Jerai mempunyai keindahan kehijauan alam yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong.

"Usaha sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mempromosikan keindahan dan tarikan ini kepada pelancong-pelancong luar negara seperti Singapura dan juga Thailand. 'Green Tourism' ini amat membantu pelancongan di Kedah. Oleh kerana itu ia perlu diketengahkan kepada pelancong kerana keindahan flora dan fauna yang begitu unik dipunyai oleh negeri Kedah," katanya.

Kata beliau, usaha terbaru itu juga bertujuan meluaskan tumpuan pelancongan di Kedah supaya tidak hanya tertumpu kepada Langkawi sahaja.

"Selain Langkawi, banyak lagi kawasan-kawasan pelancongan yang ada di negeri Kedah boleh dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang amat menarik. Jika di Thailand, agensi pelancongan yang ada di sana mempromosikan pusat pelancongan dalam negara.

"Maka itu, adalah tidak sukar bagi semua agensi pelancongan yang ada di Kedah mempromosikan pelancongan di tanah besar Kedah supaya ia setara dengan promosi pelancongan yang dilakukan di Langkawi bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini, " ujarnya.

Tuesday, February 22, 2011

Skandal Pulau Jerejak: Guan Eng Desak Tsu Koon Bayar Balik RM30 juta

GEORGETOWN-
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mendesak mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon supaya bertanggungjawab terhadap skandal Pulau Jerejak yang menyebabkan kerugian sebanyak RM30 juta kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Mengulas isu yang semakin meruncing ini, Lim menggesa Tsu Koon supaya membayar balik wang yang telah merugikan rakyat semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan beliau dahulu.

Lim berkata, kini telah tiba masanya bagi kerajaan negeri pimpinan beliau menuntut kembali wang rakyat yang telah hilang tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakyat maupun kerajaan negeri ini.

"Kerajaan negeri telah membuat keputusan meminta Tsu Koon supaya menebus kembali nilai kerugian yang dialami sebanyak RM30 juta demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Sebagai seorang menteri kabinet yang bertanggungjawab terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang profesional maka adalah tanggungjawab beliau untuk mengarahkan syarikat UDA untuk memulangkan kembali wang skandal Pulau Jerejak kepada rakyat negeri ini, " tegas Lim.

Sebelum ini isu penyelewengan skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort (TIR) telah berlaku semasa Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Manakala nilai kerugian melibatkan premium tanah berjumlah RM10.6 juta bagi 32 hektar tanah di Pulau Jerejak tidak dibayar kepada kerajaan negeri walaupun Tsu Koon telah memberikan geran tanah.

Selain dari itu, kos pelaburan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejumlah RM15.44 juta kepada TIR tidak mendapat pulangan kerana syarikat tersebut tidak mendapat keuntungan.

Pinjaman oleh PDC berjumlah RM3.6 juta kepada TIR antara tahun 1992 sehingga 2007 selepas penyerahan Pulau Jerejak kepada UDA juga belum dijelaskan sehingga kini.

Skandal yang dibongkar ini sepatutnya mendapat perhatian SPRM dan juga pihak berkuasa supaya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku sentiasa memberi keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa.

Monday, February 21, 2011

Kerajaan P.Pinang bantu 318 pelajar pulang ke Mesir

SEBERANG JAYA-
Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap nasib para pelajar yang akan meneruskan pengajian di Mesir, maka kerajaan negeri Pulau Pinang telah menghulurkan bantuan kepada 318 pelajar negeri ini sebanyak RM2000 setiap orang.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr.Mansor Othman ketika ditemui selepas majlis ceramah 'ubah sekarang' di Seberang Jaya kelmarin.

Menurut beliau lagi, sumbangan yang diberikan ini adalah bagi memudahkan para pelajar yang terlibat untuk kembali ke Mesir bagi meneruskan pengajian mereka di sana.

"Bagi memudahkan mereka, sebanyak RM1000 telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri, manakala RM1000 lagi dikeluarkan oleh Pusat Urus Zakat (PUZ).

"Kita adalah sebuah kerajaan negeri yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat. Apabila mereka dibawa pulang, sudah pasti perlu kembali untuk meneruskan pengajian. Ramai dikalangan mereka adalah terdiri dari mereka yang memerlukan sokongan untuk meneruskan pengajian.

"Oleh kerana itu, sebagai pemerintah, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membantu melalui dana yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan juga PUZ, " ujarnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti, turut menyeru rakyat supaya menilai kembali sikap yang diamalkan oleh Kerajaan Pusat.

Katanya lagi, sepatutnya para pelajar tidak dibebankan dengan kos yang terpaksa ditanggung oleh mereka sendiri untuk pulang ke Mesir.

Mansor juga menyeru masyarakat supaya menilai kembali sikap yang dipamerkan oleh Kerajaan Pusat jika dibezakan dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dalam memberi pembelaan kepada mereka.

Monday, February 14, 2011

Gambar Guan Eng Berkopiah Pula Disebarkan

GEORGETOWN-
Gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memakai kopiah bersama Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan  Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain diedarkan kepada orang ramai di negeri ini.

Gambar yang diletakkan dalam Risalah yang dipercayai menggunakan teknik 'super impose' itu dikesan diedarkan sekitar kawasan Parlimen Balik Pulau sejak seminggu yang lalu - turut diedarkan di masjid-masjid, kampung serta tempat yang menjadi tumpuan orang ramai.

Mengulas perkara tersebut, Lim dalam satu kenyataannya percaya perbuatan tidak bertangunggjawab itu bertujuan jahat dan satu fitnah yang amat dahsyat.

Katanya, ia merupakan satu serangan pihak tertentu dalam usaha mereka memburukkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) selain mensabotaj perpaduan dalam PR.

"Pengedaran risalah ini bertujuan untuk menimbulkan kebencian dikalangan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan PR," kata beliau.

Kata Lim, beliau masih lagi waras dan mampu membezakan sesuatu yang patut dan tidak patut dilakukan berhubung sensitiviti agama.

Justeru beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terperangkap dengan dakyah jahat melalui risalah tersebut yang cuba mengambarkan beliau menghina orang Islam.

Bagaimanapun dikalangan pendokong PR negeri ini, fitnah membabitkan Lim Guan Eng seperti itu bukanlah kali pertama cuba dilakukan kerana sebelum ini Lim pernah didakwa menyembelih lembu korban sempena Aidiladha.

Justeru, dalam reaksi orang ramai yang menyokong PR di negeri ini kepada Harakahdaily, mereka menjangkakan serangan berbentuk provokasi dan propoganda lebih hebat dan dasyat akan terus dilakukan sehigga pilihan raya umum akan datang.

"Biasanya provokasi melibatkan sensitiviti orang Islam, seperti berkaitan sambutan Maulidur Rasul, bacaan ayat Quran, wang dari sumber haram dan seumpamanya kerana suasana sosio-politik negeri ini menjadikan perkara seperti itu lebih mudah mendapat perhatian.

"Dikalangan penyokong PR, fitnah seperti ini sangat difahami tetapi bagi orang biasa pimpinan PR perlu lebih banyak memberi penerangan supaya mereka tidak terperangkap," kata seorang pemerhati politik di negeri itu yang ditemui.

Antara isu yang pernah cuba dicetuskan di Pulau Pinang sebelum ini termasuklah isu pembatalan perarakan sambutan Maulidul Rasul, isu doa khatib dalam khutbah jumaat dan isu wang ehsan kepada warga emas dari sumber judi.

Friday, February 11, 2011

Peniaga Akur Henti Operasi Pasar Malam Waktu Magrib

BALING- 
Langkah Majlis Daerah Baling (MDB) menguatkuasakan peraturan menutup selama 15 minit semua aktiviti pasar malam yang beroperasi dalam kawasan MDB akhirnya dapat dterima oleh para peniiaga.

Ketua Bahagian Undang-Undang dan Penguatkuasaan MDB, Mohd Hilmi Ghazali berkata, pada peringkat awal pelaksanaan ia mengalami sedikit kesukaran.
Namun begitu katanya, setelah sekian lama dilaksanakan, ramai yang telah memahami pelaksanaan undang-undang tersebut dan ia tidak lagi menjadi satu kesukaran kepada mereka.

Kata beliau, MDB dan penganjur pasar malam juga telah menyediakan tapak surau untuk peniaga dan orang ramai untuk memudahkan mereka mendirikan solat serta meneruskan urusan selepas itu.

"Memang diperingkat awal terdapat peniaga yang engkar, namun hasil penjelasan anggota MDB kenapa langkah itu diperkenalkan akhirnya mereka akur," kata beliau.

Peraturan supaya para perniaga menghentikan seketika aktiviti mereka di pasar malam dalam Daerah Baling telah diperkenal dan dikuatkuasakan mulai November lalu.

Langkah itu untuk memberi peluang kepada para peniaga yang beragama Islam menunaikan solat Magrib terlebih dahulu sebelum meneruskan aktiviti perniagaan mereka yang biasanya berakhir hampir jam 10 malam.

Dalam menguatkuasakan peraturan itu, lima minit sebelum masuk waktu maghrib, anggota MDB yang bertugas akan memasang pembesar suara bagi melaungkan azan bagi menandakan waktu operasi di pasar malam ditutup untuk seketika.

Wednesday, February 9, 2011

Pelancongan di Kedah Menggalakkan - MB

ALOR SETAR-
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan kemasukan seramai 50 ribu pelancong ke Langkawi sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini membuktikan permintaan terhadap pusat pelancongan tersebut adalah menggalakkan. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Sei Dr.Ng Yen Yen yang menyelar kerajaan negeri Kedah kononnya kemasukan pelancong ke negeri tersebut merosot.

Menurut Azizan, alternatif bagi menampung kekurangan penginapan sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan pembinaan sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang mempunyai 300 bilik di Langkawi.

Hotel yang akan dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri, iaitu Permodalan Kedah Berhad atau PKB ini mampu untuk mengatasi masalah kekurangan tempat penginapan kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

Katanya lagi bagi merealisasikan perkara tersebut, pembinaan hotel bajet juga menjadi fokus utama kerajaan negeri bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelancong tempatan dengan harga yang berpatutan.

Azizan berkata, menjadi harapan utama kerajaan negeri untuk menjadikan Langkawi sebagai sebuah bandar raya pelancongan yang terkenal dalam negara ini.

Disamping itu pulau lagenda ini juga diharapkan akan menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara khususnya sebagai pusat kesihatan pelancong peringkat antarabangsa tidak lama lagi. 

Baru-baru ini, Ng telah membidas kerajaan negeri Kedah apabila beliau menyifatkan jumlah pelancong ke negeri Kedah merosot walaupun peruntukan bagi pelancongan dalam Rancangan Malaysia ke-9 adalah tinggi.

Rakyat Faktor Kejayaan Pulau Pinang Bukan BN

GEORGETOWN- 
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan Bekas Ketua Menteri, Tan Sr. Dr.Koh Tsu Koon, kononnya kejayaan yang dicapai oleh kerajaan Pulau Pinang sekarang adalah hasil usaha yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Lim berkata, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh rakyat negeri ini kepada kerajaan negeri adalah faktor utama kepada kejayaan yang berjaya dicapai.

"Dr. Koh berkata pengurusan kewangan terbaik mereka pada tahun 2007 apabila berjaya memperolehi lebihan bajet sebanyak RM43 juta. Namun begitu pada hakikatnya setelah kerajaan negeri ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR), lebihan bajet kita adalah sekali ganda.

"Sebagai bukti pada tahun 2008, kerajaan negeri berjaya mencapai lebihan bajet sebanyak RM88 juta. Manakala pada tahun 2009 pula lebihannya adalah lebih dari RM77 juta. Ini adalah hasil dari amalan perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan, " kata Limi.

Lim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata, keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri adalah antara penyumbang kepada kejayaan ini jika dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini yang banyak mengamalkan ketidaktelusan dalam pentadbiran mereka.

"Kita harus berterima kasih kepada rakyat negeri ini yang telah memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap kepimpinan kerajaan negeri sehinggakan mereka sanggup untuk memberi komitmen dengan bekerjasama dengan kerajaan negeri sedia ada, " ujar beliau.

Tuesday, February 1, 2011

 Kuala Ketil Akan Muncul Sebagai Bandar Baharu

KUALA KETIL-

Dengan terbinanya Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kampus Kuala Ketil yang menelan perbelanjaan sekitar RM330 juta pada 2013 nanti, Kuala Ketil mampu untuk muncul sebagai salah sebuah bandar baharu di Kedah tidak lama lagi.

Mengulas mengenai perkembangan pembinaan KUIN, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kerja-kerja pembinaan kampus ini mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ia juga telah mencapai tahap 10 peratus kemajuan sehingga hari ini.

Menurut beliau, dengan terbinanya KUIN nanti, Kuala Ketil akan muncul sebagai sebuah bandar baharu setanding dengan Bangi di Selangor yang mempunyai Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga seganding dengan Sintok yang mempunyai Universiti Utara Malaysia.

Katanya lagi Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kepada rakyat negeri Kedah terutamanya dalam bidang pendidikan dan pengetahuan sepertimana yang dilakukan terhadap pembinaan kampus induk KUIN ini.

Sebelum ini pelajar kampus Alor Setar telah menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap  pihak pengurusan kerana masalah kemudahan asas yang tidak mencukupi bagi menampung pertambahan pelajar di kampus tersebut.

KUIN Kuala Ketil juga dijangka akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh pelajar KUIN sepertimana yang disuarakan oleh mereka melalui demonstrasi aman di kampus Alor Setar sebelum ini.

Tambah Azizan lagi, para pelajar di kampus baru KUIN tidak akan menghadapi masalah kekurangan sepertimana yang dialami di kampus Alor Setar, kerana kampus induk di Kuala Ketil akan menyediakan segala kelengkapan bagi memenuhi kehendak pelajar.

harakahdaily-