Tuesday, January 11, 2011

Kerajaan Kedah teruskan operasi KCE

ALOR SETAR, 11 Jan- 
Kerajaan Negeri Kedah mengambil keputusan tidak akan menutup anak syarikatnya, Kedah Communication & Event Sdn Bhd (KCE) sepertimana keputusan yang telah dicapai semalam.
Menurut Exco Kerajaan Negeri, S.Manikumar, KCE tidak akan ditutup. amun pengurusannya telah diberi jangkamasa tertentu untuk melihat kembali segala permasalahan yang timbul.

"Kita akan cuba mempertahankan anak syarikat kerajaan negeri ini melalui aspek penambahbaikan yang telah dikenal pasti. Ini termasuklah dalam aspek pengurusan.

"Buat ketika ini, ia masih beroperasi seperti biasa. Terdapat harapan besar pada KCE dan kita yakin sepenuhnya pada Perbadanan Menteri Besar Kedah atau PMBKed untuk mengatasi masalah yang timbul. Sebagai Pengerusi KCE saya akan melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini, " katanya.

Baru-baru ini desas-desus mengenai penutupan KCE telah hangat diperkatakan di negeri ini.
Timbulnya isu ini adalah ekoran notis pemberhentian kerja dan operasi yang ditandatangani oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Fuad Mohd Ali yang diterima oleh kakitangan anak syarikat tersebut.

Ekoran itu kebimbangan wujud dikalangan kakitangan kerana bimbang hilang punca pendapatan.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif PMBKed, Datuk Bakar Din turut menyatakan pengurusan KCE akan distruktur semula berikutan kewujudan masalah dalaman yang dihadapi oleh anak syarikat tersebut.

Manikumar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Bukit Selambau, turut memberi keyakinan akan melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan ke atasnya dengan terbaik bagi membantu menangani masalah tersebut.

PRU: Kedah bayangkan tidak ikut pusat

ALOR SETAR, 11 Jan
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak membayangkan negeri itu tidak semestinya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) peringkat pusat.

Menurut Menteri Besar, pembubaran DUN Kedah bergantung kepada keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan rakyat (PR) yang bersepakat untuk memutuskan sendiri tarikh PRU bagi negeri-negeri yang dikuasai.

Ketika ini PR menguasai empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
"Bagi kerusi DUN, kehendak kerajaan BN (menentukan tarikh pilihan raya umum) tidak semestinya menjadi ikutan (negeri)," kata beliau dalam pertemuan dengan seorang wakil media.

Bagaimanapun kata Azizan dalam kontek kerusi parlimen, PAS akan menyertainya tidak kira waktu bila pilihan raya itu akan diumumkan oleh kerajaan pusat.

"Kita tidak akan beri ruang sedikit pun kepada BN walaupun pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat. Tapi bagi negeri yang kita kuasai, ia bergantung kepada Majlis Pimpinan PR untuk memutuskan bila DUN akan dibubarkan," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Pembubaran DUN walaupun lazimnya dilakukan selepas pembubaran parlimen bagi 
membolehkan pilihan raya umum dijalankan serentak tetapi Menteri Besar mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya negeri dengan mendapat perkenan Sultan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor turut menegaskan untuk tidak membubarkan DUN sekiranya kerajaan pusat mengadakan pilihan raya umum tergempar atau dalam masa terdekat.

Keputusan yang diambil hasil perbincangan pimpinan PR peringkat negeri itu antaranya mengemukakan alasan mahu menggunakan mandat lima tahun sepenuhnya bagi melaksanakan janji-janji kepada rakyat tanpa terikat dengan rentak Barisan Nasional.

Mengulas lanjut tentang tarikh pilihan raya umum yang sentiasa menjadi teka-teki di negara ini, Azizan menasihatkan pimpinan kerajaan BN supaya tidak lagi mengamalkan sikap demikian.
Kata beliau, rakyat hari ini tidak boleh diperbodohkan sepertimana yang dilakukan sebelum ini kerana sebahagian besar rakyat sudah celik politik malah menyedari apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Selain itu kata beliau, teka-teki tarikh pilihan raya yang menjadi permainan BN langsung tidak menggusarkan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya BN yang takut untul mengumumkan tarikh PRU sekiranya mereka merasa sukar untuk mendapat kemenangan.

Rancangan sulit tukar kepimpinan PAS hanya propaganda - Phahrolrazi

ALOR SETAR, 11 Jan-
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Dato' Ir.Phahrolrazi Zawawi mengingatkan ahli PAS supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya wajud perancangan sulit di kalangan kumpulkan tertentu dalam PAS untuk mengubah pucuk pimpinan parti yang diterajui oleh Ulama. 

Malah beliau menyifatkan khabar angin tersebut sebagai propoganda pihak lawan yang sentiasa merancang strategi untuk mencetuskan suasana panas dalam PAS bagi tujuan melemahkan perjuangan PAS selain mengalih tumpuan pendokong PAS daripada agenda yang sepatutnya.

Selain itu, beliau juga tidak menolak cerita yang disebarkan kononnya usaha sedang dilakukan untuk mengambil alih kuasa dari kepimpinan ulama dalam PAS itu juga strategi jangka pendek untuk memecah-belahkan ahli PAS menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor tidak lama lagi.

"Sebenarnya golongan ulama dan juga golongan profesional merupakan golongan yang mempunyai peranan tersendiri. Dalam PAS amalan kronisme dan puak tidak pernah wujud.
"Kumpulan dari kalangan profesional dan ulama sering bergandingan bagi mencapai aspirasi perjuangan parti untuk menegakkan keadilan dan memartabatkan Islam sebagai wadah perjuangan, " kata beliau.

Phahrolrazi berkata demikian mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendakwa wujudnya perancangan sulit bagi mengubah pucuk pimpinan menjelang pemilihan PAS menjelang Jun yang akan datang.

Sebelum pemilihan pimpinan PAS dua tahun lalu, PAS juga pernah menghadapi krisis yang dilihat seolah-olah berlaku pertembungan antara dua kumpulan dalam parti yang mewakili kumpulan Ulama dan profesional melalu laporan-laporan di media dan internet.

Bagaimanapun isu tersebut semakin kurang diperkatakan selepas muktamar berlangsung.