Sunday, May 8, 2011

Serbu KM: Umno Bertindak Ala Samseng

UMNO PATUT RASA MALU
BUTTERWORTH-
Tindakan ala samseng yang dipamerkan oleh pemuda Umno Pulau Pinang sepertimana yang dizahirkan selepas majlis perasmian Projek Pembinaan Jalan Penghubung di Jalan Bagan 29 - Jalan Siram oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng memperlihatkan wajah sebenar pimpinan mereka yang ingin wujudkan.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man (gambar), ketika mengulas insiden yang mencemarkan imej Umno Pulau Pinang itu, menyatakan apa yang dipertontonkan oleh Pemuda Umno yang diterajui oleh ketuanya, Shaik Hussein Mydin, mencalarkan wajah Umno sendiri.

Dalam insiden semalam, selepas majlis perasmian bertempat di pasar awam Taman Bagan, sekumpulan pemuda Umno telah menyerbu Lim Guan Eng (gambar bawah) ketika bersama dif kehormat untuk menyatakan kekesalan mereka mengenai isu 'Kristian agama rasmi negara' sepertimana yang disiarkan oleh akhbar arus perdana milik Umno.

"Apakah ini barisan pemimpin yang mahu diwujudkan oleh Umno tanpa menghormati seorang ketua kerajaan negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat sebagai pemerintah.
“Jika tindakan tidak bermoral dan ala samseng ini jelas dipertontonkan di khalayak ramai, apakah kita yakin mereka ini dapat membela nasib rakyat dan golongan muda sekiranya ini akhlak yang ada,” kata Salleh yang juga Adun Permatang Pasir.


Beliau berkata, Umno sepatutnya berasa malu di atas tindakan ala samseng yang ditunjukkan oleh pemuda mereka.

Soalnya, bagaimana pula sekiranya kejadian ini dilakukan oleh kumpulan lain terhadap pimpinan mereka pula.
“Apakah mereka rela ianya berlaku sedemikian. Begitu jugalah dengan tindakan mereka pada hari ini. Sepatutnya gunakan saluran yang betul. Jangan tunjukkan betapa rendahnya akhlak yang ada pada pimpinan mereka apabila bertindak demikian, " ujarnya lagi.

Dalam insiden tersebut juga juak-juak Umno telah membentangkan kain rentang, namun dengan kepantasan pihak polis, insiden yang memalukan itu dapat dihalang daripada terus menjadi satu provokasi yang memalukan.

Selain dari Mohd Salleh turut hadir pada majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng dan kepimpinan PAS dan PKR.

Wednesday, May 4, 2011

Sumpah dipermain, rumah Allah diperalat

MESTILAH ORANG SOLEH, BUKAN AHLI MAKSIAT
SUNGAI PETANI-
"Sumpah dipermainkan, rumah Allah diperalatkan. Ayat dan kitab suci Al Quran hanya diambil sebahagian dari sebahagian untuk kepentingan individu yang boleh menyesatkan umat Islam," kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Samsudin (gambar).

Katanya, isu yang cuba dibawa oleh Datuk Eskay Shazryl Abdullah semasa melafazkan sumpah di Masjid Amru Al-As baru-baru ini termasuk dalam hukum qazaf dan bukannya mubahalah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangan dalam 'Forum Sumpah Laknat' yang telah diadakan di Masjid Al Barakah, Tikam Batu, di sini bersama-sama dengan Yang Dipertua Abim Kedah, Ustaz Hafiz Mustafa Lubis dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Hamid, semalam.

Menurutnya,  isu yang ditimbulkan sekarang ini tidak langsung memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Islam sebelum ia dilaksanakan.

Antaranya, kata beliau ialah ikhlas niat kerana Allah semata-mata, berilmu serta diadakan perbahasan terlebih dahulu.

"Yang membuat tuntutan itu perlulah orang yang soleh dan bukannya ahli maksiat, mesti dilakukan selepas adanya hujah-hujah yang tepat dikemukakan serta adanya kepentingan untuk agama Islam," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan mantan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia turut berkata, isu ini jelas memaparkan ianya mempunyai kepentingan politik yang boleh merosakkan moral masyarakat dan juga negara.

"Rujuklah kepada Al Quran sebagai pedoman. Jangan gunakan akal sebagai sandaran yang boleh menyesatkan kita di dunia dan juga akhirat.

"Pihak kerajaan harus terlibat secara langsung bagi menegakkan hukum Islam yang menjadi tuntutan, kerana keengganan untuk melaksanakan hukuman tersebut membawa kepada padah seperti mana yang berlaku sekarang ini.