Wednesday, February 9, 2011

Pelancongan di Kedah Menggalakkan - MB

ALOR SETAR-
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan kemasukan seramai 50 ribu pelancong ke Langkawi sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini membuktikan permintaan terhadap pusat pelancongan tersebut adalah menggalakkan. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Sei Dr.Ng Yen Yen yang menyelar kerajaan negeri Kedah kononnya kemasukan pelancong ke negeri tersebut merosot.

Menurut Azizan, alternatif bagi menampung kekurangan penginapan sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan pembinaan sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang mempunyai 300 bilik di Langkawi.

Hotel yang akan dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri, iaitu Permodalan Kedah Berhad atau PKB ini mampu untuk mengatasi masalah kekurangan tempat penginapan kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

Katanya lagi bagi merealisasikan perkara tersebut, pembinaan hotel bajet juga menjadi fokus utama kerajaan negeri bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelancong tempatan dengan harga yang berpatutan.

Azizan berkata, menjadi harapan utama kerajaan negeri untuk menjadikan Langkawi sebagai sebuah bandar raya pelancongan yang terkenal dalam negara ini.

Disamping itu pulau lagenda ini juga diharapkan akan menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara khususnya sebagai pusat kesihatan pelancong peringkat antarabangsa tidak lama lagi. 

Baru-baru ini, Ng telah membidas kerajaan negeri Kedah apabila beliau menyifatkan jumlah pelancong ke negeri Kedah merosot walaupun peruntukan bagi pelancongan dalam Rancangan Malaysia ke-9 adalah tinggi.

Rakyat Faktor Kejayaan Pulau Pinang Bukan BN

GEORGETOWN- 
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan Bekas Ketua Menteri, Tan Sr. Dr.Koh Tsu Koon, kononnya kejayaan yang dicapai oleh kerajaan Pulau Pinang sekarang adalah hasil usaha yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Lim berkata, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh rakyat negeri ini kepada kerajaan negeri adalah faktor utama kepada kejayaan yang berjaya dicapai.

"Dr. Koh berkata pengurusan kewangan terbaik mereka pada tahun 2007 apabila berjaya memperolehi lebihan bajet sebanyak RM43 juta. Namun begitu pada hakikatnya setelah kerajaan negeri ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR), lebihan bajet kita adalah sekali ganda.

"Sebagai bukti pada tahun 2008, kerajaan negeri berjaya mencapai lebihan bajet sebanyak RM88 juta. Manakala pada tahun 2009 pula lebihannya adalah lebih dari RM77 juta. Ini adalah hasil dari amalan perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan, " kata Limi.

Lim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata, keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri adalah antara penyumbang kepada kejayaan ini jika dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini yang banyak mengamalkan ketidaktelusan dalam pentadbiran mereka.

"Kita harus berterima kasih kepada rakyat negeri ini yang telah memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap kepimpinan kerajaan negeri sehinggakan mereka sanggup untuk memberi komitmen dengan bekerjasama dengan kerajaan negeri sedia ada, " ujar beliau.