Saturday, June 11, 2011

Video seks: Umno jangan guna politik primitif

SEBERANG PRAI, 11 Jun: Sekiranya Umno dan BN dibiarkan terus berkuasa, tidak mustahil negara akan menjadi longgokan video seks secara berleluasa setelah melihat penularan tersebut berlaku secara mendadak kebelakangan ini.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) ketika diminta mengulas mengenai isu penyebaran video seks sekitar kawasan Ampang yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika ditemui selepas sidang media di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah, tengah hari tadi.

Menurut beliau lagi, adalah malang bagi rakyat negara ini apabila video-video seks porno muncul sebagai fitnah politik setelah melihat kemunculan beberapa pemimpin politik khususnya dari Pakatan Rakyat (PR) menggugat kedudukan pemimpin Umno dan BN.

"Budaya fitnah ini amat mengecewakan, kerana ia menggambarkan betapa jijik dan lucahnya politik Umno, sehingga mereka tidak berani untuk berdepan dengan hujah. Sebaliknya hanya berani untuk berhadapan dengan fitnah.

"Seringkalinya ia berlaku, apabila Umno melihat adanya pemimpin tertentu yang mempunyai pengaruh politik yang besar dan menggugat kedudukan mereka. Oleh kerana itu cara untuk menjatuhkannya adalah melalui fitnah video seks dan seumpamanya.

"Umno yang telah kering kontang dengan isu dan modal politik, akan mempermainkan isu seperti ini walaupun mahkamah telah membuat keputusan menggugurkan pertuduhan ini pada tahun 1995 kerana tidak mempunyai bukti," ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, kemungkinan pada hari ini Mohamad Sabu menjadi mangsa yang ada dalam senarai pihak tersebut.

Namun begitu, katanya tidak mustahil bagi mereka yang seringkali membelakangkan tuntutan agama akan menjadikan kelucahan sebagai modal politik terdesak.

"Maka itu sekiranya Umno ingin berpolitik, gunakan politik yang sihat dan berhemah serta bertamaduan bagi meyakinkan masyarakat, dan bukannya melalui politik yang jumud, kuno serta primitif," tambahnya lagi.


Harakahdaily-

Sunday, May 8, 2011

Serbu KM: Umno Bertindak Ala Samseng

UMNO PATUT RASA MALU
BUTTERWORTH-
Tindakan ala samseng yang dipamerkan oleh pemuda Umno Pulau Pinang sepertimana yang dizahirkan selepas majlis perasmian Projek Pembinaan Jalan Penghubung di Jalan Bagan 29 - Jalan Siram oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng memperlihatkan wajah sebenar pimpinan mereka yang ingin wujudkan.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man (gambar), ketika mengulas insiden yang mencemarkan imej Umno Pulau Pinang itu, menyatakan apa yang dipertontonkan oleh Pemuda Umno yang diterajui oleh ketuanya, Shaik Hussein Mydin, mencalarkan wajah Umno sendiri.

Dalam insiden semalam, selepas majlis perasmian bertempat di pasar awam Taman Bagan, sekumpulan pemuda Umno telah menyerbu Lim Guan Eng (gambar bawah) ketika bersama dif kehormat untuk menyatakan kekesalan mereka mengenai isu 'Kristian agama rasmi negara' sepertimana yang disiarkan oleh akhbar arus perdana milik Umno.

"Apakah ini barisan pemimpin yang mahu diwujudkan oleh Umno tanpa menghormati seorang ketua kerajaan negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat sebagai pemerintah.
“Jika tindakan tidak bermoral dan ala samseng ini jelas dipertontonkan di khalayak ramai, apakah kita yakin mereka ini dapat membela nasib rakyat dan golongan muda sekiranya ini akhlak yang ada,” kata Salleh yang juga Adun Permatang Pasir.


Beliau berkata, Umno sepatutnya berasa malu di atas tindakan ala samseng yang ditunjukkan oleh pemuda mereka.

Soalnya, bagaimana pula sekiranya kejadian ini dilakukan oleh kumpulan lain terhadap pimpinan mereka pula.
“Apakah mereka rela ianya berlaku sedemikian. Begitu jugalah dengan tindakan mereka pada hari ini. Sepatutnya gunakan saluran yang betul. Jangan tunjukkan betapa rendahnya akhlak yang ada pada pimpinan mereka apabila bertindak demikian, " ujarnya lagi.

Dalam insiden tersebut juga juak-juak Umno telah membentangkan kain rentang, namun dengan kepantasan pihak polis, insiden yang memalukan itu dapat dihalang daripada terus menjadi satu provokasi yang memalukan.

Selain dari Mohd Salleh turut hadir pada majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng dan kepimpinan PAS dan PKR.

Wednesday, May 4, 2011

Sumpah dipermain, rumah Allah diperalat

MESTILAH ORANG SOLEH, BUKAN AHLI MAKSIAT
SUNGAI PETANI-
"Sumpah dipermainkan, rumah Allah diperalatkan. Ayat dan kitab suci Al Quran hanya diambil sebahagian dari sebahagian untuk kepentingan individu yang boleh menyesatkan umat Islam," kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Samsudin (gambar).

Katanya, isu yang cuba dibawa oleh Datuk Eskay Shazryl Abdullah semasa melafazkan sumpah di Masjid Amru Al-As baru-baru ini termasuk dalam hukum qazaf dan bukannya mubahalah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangan dalam 'Forum Sumpah Laknat' yang telah diadakan di Masjid Al Barakah, Tikam Batu, di sini bersama-sama dengan Yang Dipertua Abim Kedah, Ustaz Hafiz Mustafa Lubis dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Hamid, semalam.

Menurutnya,  isu yang ditimbulkan sekarang ini tidak langsung memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Islam sebelum ia dilaksanakan.

Antaranya, kata beliau ialah ikhlas niat kerana Allah semata-mata, berilmu serta diadakan perbahasan terlebih dahulu.

"Yang membuat tuntutan itu perlulah orang yang soleh dan bukannya ahli maksiat, mesti dilakukan selepas adanya hujah-hujah yang tepat dikemukakan serta adanya kepentingan untuk agama Islam," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan mantan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia turut berkata, isu ini jelas memaparkan ianya mempunyai kepentingan politik yang boleh merosakkan moral masyarakat dan juga negara.

"Rujuklah kepada Al Quran sebagai pedoman. Jangan gunakan akal sebagai sandaran yang boleh menyesatkan kita di dunia dan juga akhirat.

"Pihak kerajaan harus terlibat secara langsung bagi menegakkan hukum Islam yang menjadi tuntutan, kerana keengganan untuk melaksanakan hukuman tersebut membawa kepada padah seperti mana yang berlaku sekarang ini.

Tuesday, March 8, 2011

PAS tunjukkan Kesederhanaan Islam - Chua Jui Meng

KEPALA BATAS- 
 Umno menggambarkan Islam yang dibawa oleh PAS sebagai ekstrim dan menakutkan, kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Menurut Chua,  pengalamannya sebelum ini bersama Umno, beliau tidak pernah diberi kefahaman yang mudah mengenai Islam malah melalui Umno masyarakat bukan Islam hanya memahami Islam itu dengan potong tangan dan bersunat.

"Kami tidak didedahkan dengan perkara sebenar. Malah terdapat juga dakwaan yang mengatakan jika PAS (sebagai parti Islam) memerintah nanti banyak perkara yang lebih dahsyat akan berlaku," katanya ketika menyampaikan pidato di Dewan Millenium, Kepala Batas semalam. 

Bagaimanapiun kata Chua, setelah bergaul dengan PAS beliau mendapati Islam itu merupakan agama yang sederhana melalui pendekatan yang dibawa oleh PAS.

"Umnolah sebenarnya yang membawa Islam ekstrim yang menakutkan kami. PAS yang saya didampingi telah mengajar perkara sebenar kepada kami.

 "Akhirnya saya sendiri memahami apa sebenarnya kesederhanaan dalam Islam. Malah anak-anak lelaki saya juga disunatkan kerana faham akan kebaikan yang ada pada amalan bersunat sepertimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam," katanya.

Kata Chua, Islam yang dikenali melalui PAS bukanlah satu agama yang ekstrim seperti digambarkan selama ini sebaliknya satu agama yang turut mengutamakan kebajikan kepada orang-orang bukan Islam.

Chua yang juga merupakan Naib Presiden PKR turut menyifatkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai contoh pemimpin Islam yang sederhana.

Sehubungan itu beliau mengingatkan masyarakat bukan supaya tidak terperangkap dengan dakyah sempit yang mendakwa PAS itu pelampau dan mengamalkan politik sempit.

Wednesday, February 23, 2011

Kedah giat promosi 'Green Tourism' sebagai tarikan pelancongan baru

ALOR SETAR- 
Usaha bagi mempelbagaikan daya tarikan pelancong ke negeri Kedah dipergiatkan melalui pelbagai program yang telah direncanakan bagi mencapai matlamat menjadikan Kedah sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang amat menarik.

Exco Pelancongan, S. Manikumar yang mengulas mengenai daya tarikan ini berkata, Kerajaan Negeri sedang giat mempromosikan 'Green Tourism' dimana tempat-tempat menarik yang mempunyai keindahan alam hijau dan juga flora serta fauna akan diketengahkan.

"Banyak tempat-tempat menarik seperti Ulu Muda, Lembah Bujang di Merbok, Sungei Sembeling dan juga Gunung Jerai mempunyai keindahan kehijauan alam yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong.

"Usaha sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mempromosikan keindahan dan tarikan ini kepada pelancong-pelancong luar negara seperti Singapura dan juga Thailand. 'Green Tourism' ini amat membantu pelancongan di Kedah. Oleh kerana itu ia perlu diketengahkan kepada pelancong kerana keindahan flora dan fauna yang begitu unik dipunyai oleh negeri Kedah," katanya.

Kata beliau, usaha terbaru itu juga bertujuan meluaskan tumpuan pelancongan di Kedah supaya tidak hanya tertumpu kepada Langkawi sahaja.

"Selain Langkawi, banyak lagi kawasan-kawasan pelancongan yang ada di negeri Kedah boleh dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang amat menarik. Jika di Thailand, agensi pelancongan yang ada di sana mempromosikan pusat pelancongan dalam negara.

"Maka itu, adalah tidak sukar bagi semua agensi pelancongan yang ada di Kedah mempromosikan pelancongan di tanah besar Kedah supaya ia setara dengan promosi pelancongan yang dilakukan di Langkawi bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini, " ujarnya.

Tuesday, February 22, 2011

Skandal Pulau Jerejak: Guan Eng Desak Tsu Koon Bayar Balik RM30 juta

GEORGETOWN-
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mendesak mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon supaya bertanggungjawab terhadap skandal Pulau Jerejak yang menyebabkan kerugian sebanyak RM30 juta kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Mengulas isu yang semakin meruncing ini, Lim menggesa Tsu Koon supaya membayar balik wang yang telah merugikan rakyat semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan beliau dahulu.

Lim berkata, kini telah tiba masanya bagi kerajaan negeri pimpinan beliau menuntut kembali wang rakyat yang telah hilang tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakyat maupun kerajaan negeri ini.

"Kerajaan negeri telah membuat keputusan meminta Tsu Koon supaya menebus kembali nilai kerugian yang dialami sebanyak RM30 juta demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Sebagai seorang menteri kabinet yang bertanggungjawab terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang profesional maka adalah tanggungjawab beliau untuk mengarahkan syarikat UDA untuk memulangkan kembali wang skandal Pulau Jerejak kepada rakyat negeri ini, " tegas Lim.

Sebelum ini isu penyelewengan skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort (TIR) telah berlaku semasa Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Manakala nilai kerugian melibatkan premium tanah berjumlah RM10.6 juta bagi 32 hektar tanah di Pulau Jerejak tidak dibayar kepada kerajaan negeri walaupun Tsu Koon telah memberikan geran tanah.

Selain dari itu, kos pelaburan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejumlah RM15.44 juta kepada TIR tidak mendapat pulangan kerana syarikat tersebut tidak mendapat keuntungan.

Pinjaman oleh PDC berjumlah RM3.6 juta kepada TIR antara tahun 1992 sehingga 2007 selepas penyerahan Pulau Jerejak kepada UDA juga belum dijelaskan sehingga kini.

Skandal yang dibongkar ini sepatutnya mendapat perhatian SPRM dan juga pihak berkuasa supaya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku sentiasa memberi keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa.