Sunday, December 12, 2010

Media Negara Amalkan Demokrasi Terpilih : Mohd Sabu

"MENGGUNAKAN MEDIA MENGHENTAM PAS, PKR & DAP"

Tindakan media arus perdana dalam negara ini yang tidak telus dalam melaporkan perkara sebenar menyebabkan mereka berada pada tangga ke-166 dalam senarai kebebasan dunia.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramah penerangan beliau di Dewan JKKK, Pajak Song, Kepala Batas, Seberang Perai Utara semalam.

Menurut beliau lagi, sikap "double standard" yang diamalkan oleh media perdana menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara fakta, kebenaran dan kebatilan.

"Apabila mereka tidak dapat membuat pertimbangan yang bijak, maka akhirnya yang menjadi mangsa adalah kebenaran.  Yang lebih parah lagi apabila wujudnya ketidaktelusan dalam menyampaikan maklumat."

"Malah demokrasi yang diamalkan oleh pihak media yang condong kepada pemerintah, hanya menjadikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai sesuatu yang benar.  Manakala parti lain yang berada dalam negara ini, walaupun sah dari segi perundangan akan dianggap sebagai tidak sah kepada mereka," ujarnya lagi.

Mohamad Sabu juga menyelar sikap kerajaan yang menjadikan demokrasi sebagai momokan sedangkan pada konsep sebenar ia tidak dilaksanakan.

Tambahnya lagi, demokrasi yang diamalkan oleh media luar negara seperti Indonesia, Filipina dan kebanyakan negara luar adalah lebih baik jika dibandingkan dengan sistem amalan yang dilaksanakan dalam negara oleh kerajaan sedia ada.

"Sebagai bukti kita dapat lihat bagaimana peranan berat sebelah yang dimainkan oleh media milik kerajaan.  Semasa pilihan raya diadakan mereka akan menggunakan media untuk menghentam parti lawan seperti PAS, PKR dan DAP."

"Sedangkan kita tidak diberi ruang dan peluang untuk membela diri.  Mereka boleh membelasah kita tanpa henti.  Sekelumit masa pun tidak mereka berikan untuk menyatakan visi dan misi kita untuk memperjuangkan hak dan membela nasib rakyat."

"Sekiranya keadilan mahu dilihat terbentuk dan dilaksanakan dalam negara, maka rakyat harus segera membuat reformasi dalam pilihan raya umum yang akan datang.  Hanya melalui mandat rakyat sahaja kita mampu merubah ketidakadilan yang ada dalam negara, " katanya lagi.

Dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah dengan menyekat maklumat parti lawan seperti Pakatan Rakyat (PR) bukan satu perkara baru yang diamalkan dalam negara ini.  Walau bagaimanapun dengan perkembangan siber terkini, maklumat kepada rakyat dapat dirobos melalui sistem yang ada tanpa perlu menaruh harapan yang tinggi kepada BN sebagai parti pemerintah untuk melebar-luaskan penyiaran maklumat bagi pihak PR.

Katanya lagi, Perhimpunan Agung UMNO yang seringkali diberikan liputan meluas oleh TV3 adalah bukti ketara bagaimana berlakunya diskriminasi media terhadap PR maupun parti politik yang tidak sehaluan dengan pemerintah.

"Namun begitu, PR tidak akan mengamalkan ketidakadilan yang menjadi amalan mereka menyelinap masuk seandainya tampuk pemerintahan berada dalam kekuasaan kita menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan datang."

"PR akan tetap mempraktikkan keadilan kepada semua golongan masyarakat tanpa mengambil kira kedudukan entiti, ras dan agama yang mereka anuti bagi memberi keadilan dan pembelaan yang sewajarnya," tegasnya lagi.

Majlis anjuran PAS kawasan Tasek Gelugor itu turut di hadiri oleh kepimpinan PAS, PKR dan DAP.

Pihak Tuntut Pulau Pinang Bukan Wakili Kedah

PAJAKAN RM10RIBU KEPADA RM10JUTA SETAHUN

ALOR SETAR- 
Cadangan yang dibuat oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), supaya Kedah menuntut hak ke atas Pulau Pinang, bukan mewakili Kerajaan, kata Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Bahkan tegas Azizan, beliau dan pihak kerajaan negeri tidak mengetahui apakah motif sebenar tuntutan yang dibuat oleh PSMCK bagi mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah sepertimana yang diwar-warkan kebelakangan ini.

Azizan berkata demikian mengulas isu yang telah dibangkitkan oleh PSMCK baru-baru ini supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah.

Dalam tuntutan yang dibuat PSMCK melalui Pengerusinya, Datuk Dr.Wan Shamsuddin Mohd Yusof, persatuan itu menuntut supaya Pulau Pinang diletakkan semula di bawah kekuasaan dan jajahan negeri Kedah berdasarkan kepada fakta sejarah yang lalu.

Isu tuntutan semula itu mendapat reaksi pro dan kontra pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin politik dan juga orang perseorangan di kedua-dua negeri.
Bagaimanapun Azizan mengakui kerajaan negeri pimpinannya menuntut supaya Kerajaan Pusat menaikkan nilai pajakan Pulau Pinang daripada RM10 ribu kepada RM10 juta setahun.

"Tuntutan tersebut telah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat sejak Pakatan Rakyat mulai menerajui kekuasaan negeri Kedah lagi. Namun begitu, sehingga kini tiada tindak balas yang diterima dari pihak Pusat mengenai perkara tersebut.

"Buat masa ini Kerajaan Negeri hanya menuntut supaya kadar pajakan dinaikkan, itu sahaja," kata Azizan.

harakahdaily -

Prof. Shahrir Hasilkan Buku 'Tok Guru Nik Aziz'

 
"TURUT DISEGANI MASYARAKAT BUKAN ISLAM"

PERMATANG PAUH- 
Buku bertajuk ' Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepimpinan Besar Sepanjang Zaman' hasil tulisan Prof. Dr Shahrir Mohd Zain telah dilancarkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato' Abdul Halim Hussain di Masjid Batu, Kampung Pertama, semalam.

Abdul Halim dalam ucapan pelancarannya menyatakan bentuk kesederhanaan dalam kepimpinan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Kelantan itu adalah suatu yang sukar diamalkan oleh mana-mana pemimpin dalam negara ini.

Katanya, sifat peribadi yang tinggi dipunyai oleh Nik Aziz itu bukan saja disenangi oleh majoriti rakyat Kelantan yang beragama Islam, malah ia turut disenangi oleh masyarakat bukan Islam.
"Wasatiyyah yang menggabungkan sifat keadilan dan kesederhanaan Tok Guru itu diungkapkan dalam buku ini bagi menjadi teladan kepada masyarakat. Ia adalah sebagai panduan dalam mengamati sifat peribadi yang harus ada pada kepimpinan sama ada peringkat bawahan maupun peringkat tertinggi.

"Beliau juga adalah tokoh sederhana dalam kepimpinan negara yang tidak juga dapat ditandingi sifatnya oleh mana-mana kepimpinan yang ada dalam negara ini walaupun telah berjaya memimpin Kelantan lebih dari 20 tahun hingga kini," ujar beliau.

Pelancaran kali ini adalah sebagai permulaan kepada pelancaran yang akan turut dilakukan di beberapa buah negeri lagi sebagai satu wadah perjuangan untuk memberi peluang kepada masyarakat memiliki buku yang menceritakan keperibadian dan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Sasterawan Negara, Azizi Abdullah, Dinsman dan Ketua Satu Persatuan Penulis Pulau Pinang, Anuar Ahmad adalah antara tetamu yang turut hadir pada majlis pelancaran buku tersebut.