Wednesday, January 26, 2011

Umno Kedah: Najib Pula Suarakan Kebimbangan

SUNGAI PETANI- 

Konflik dalaman Umno di Kedah turut diakui Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau sendiri merayu supaya Umno Bahagian Sungai Petani segera berdamai.

Najib semasa berucap sempena majlis 'Perdana Menteri Bersama Rakyat 1Malaysia' di Taman Sri Pinang, Tikam Batu, baru-baru ini menggesa persengketaan dalaman yang berlaku dalam Umno bahagian tersebut segera diselesaikan.

Kenyataan Najib itu dilihat mengulangi kebimbangan ramai pimpinan Umno terhadap perkembangan Umno negeri Kedah selepas rombakan pimpinan peringkat negeri dilakukan sebelum ini.

Sebelum ini, bekas Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamed turut mendakwa wujudnya amalan 'cantas-mencantas' dalam Umno Kedah yang boleh menggugat usaha parti tersebut merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Walaupun kenyataannya itu dilihat berkaitan dengan perlantikan anaknya yang dikatakan tidak disenangi sesetengah pimpinan Umno Kedah, kata Mahathir, tabiat yang sekian lama menjadi amalan pimpinan Umno ini harus segera dikikis sekiranya ingin memenangi semula pilihan raya.

"Masalah ini kerap berlaku dalam pimpinan Umno. Apabila ada orang lain hendak naik, maka yang tidak dapat naik akan cuba mencantas yang hendak naik. Manakala apabila ada orang yang tidak naik mendapat kenaikan, maka yang lain pula akan mencantas yang ini," katanya.

Timbalan Pengerusi Umno Kedah yang baru dilantik, Datuk Mukhriz Mahathir turut mengakui sudah beberapa kali pertemuan diadakan dengan kumpulan yang bertelagah dalam bahagian Sungai Petani namun setakat ini belum ada perkembangan yang baik.

Mukhriz semasa bercakap kepada media di Stesen Teksi Sungei Petani kelmarin, berkata usaha untuk menyatupadukan Umno Kedah yang berpecah terlalu sukar walaupun beberapa usaha telah dilakukan.

Dalam masa yang sama ketika bertungkus lumus menyelesaikan kemelut di Sungai Petani, Umno Kedah juga sedang berhadapan dengan pertelagahan antara Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrol Hisham Hashim dengan Naib Ketua Umno Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang masih lagi panas.

Dalam perkembangan di Sungai Petani, pertelagahan antara Ali Yahya yang juga merupakan Ketua Umno Sungai Petani dengan Gerakan Anti Ali (GAA) yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dilihat semain kritikal.

Dalam satu insiden ketika mesyuarat agung Umno bahagian Sangai Petani, Julai tahun lalu, sebahagian perwakilan Umno bahagian tidak membenarkan Ali berucap dalam majlis perasmian malah mendesak Ali melepaskan jawatan kerana tidak puas hati dengan kepimpinan beliau.

Keadaan bertambah gamat apabila Naib Ketua Umno bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan Ketua Puteri Umno bahagian, Shahanim Mohd Yusof turut mendesak Ali selaku Ketua bahagian berundur.

Jesteru, apabila Presiden Umno sendiri menyuarakan kebimbangannya terhadap kemelut Umno di Kedah, ramai pemerhati melihat, parti itu masih berada ditakok lama walaupun kepimpinan Umno Kedah bertukar dari Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Pengerusi Perhubungan kepada Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan juga kepada Mukhriz sebagai timbalan pengerusi.

Malah beberapa sumber dalaman Umno Kedah mengakui, Mukhriz tidak dapat berbuat apa-apa bagi menyelesaikan kemelut Umno kedah termasuk Sungai Petani.

Manakala Ahmad Bashah dikatakan turut mempunyai masalah dengan Umno Kedah yang enggan menerima pelantikan beliau.

Monday, January 24, 2011

'Talkin Umno Perlis': Ali Sahut Cabaran Debat

KANGAR- 

Cabaran debat dalam isu ' talkin untuk Umno Perlis' antara bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh,  dengan Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Padang Besar, Ali Ismail mungkin menjadi realiti menjelang Februari yang akan datang.

Menurut sumber dalaman Umno Perlis, konflik yang berlarutan antara Hashim dan Ali sudah hampir mencapai klimaksnya apabila Ali dikatakan sanggup menerima cabaran dari Hashim untuk mengadakan debat pada 3 Februari.

"Kalau segala persiapan berjalan lancar, Ali tidak ada apa-apa masalah untuk berdebat," kata sumber itu.

Bagaimanapun Harakahdaily difahamkan ada pihak daripada Umno tidak bersetuju dengan perdebatan tersebut kerana menyifatkan Hashim tidak layak untuk bersemuka dengan Ali untuk membicarakan masalah kepimpinan Umno negeri kerana beliau (Hashim) tidak memegang apa-apa portfolio dalam parti, sedangkan Ali masih lagi AJK Umno bahagian.

Dalam perkembangan lain, Ali dilaporkan telah membidas Hashim kerana mendakwa tidak memahami erti sebenar debat yang dilaung-laungkan.

"Debat ini adalah untuk memberi penjelasan sebenar kepada masyarakat tentang konflik yang timbul, ini termasuklah isu mentalkinkan Umno Perlis sepertimana yang dibangkitkan oleh Hashim dalam beberapa kenyataan beliau sebelum ini, " ujarnya.

Isu debat mengenai mengenai' talkin untuk Umno Perlis' yang mencetuskan konflik dalaman Umno Perlis itu dikaitkan rentetan daripada pertembungan antara 'team' Menteri Besar, Dr. Md Isa Sabu dengan ' team' bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pertembungan kedua-dua kumpulan tersebut semakin parah apabila Shahidan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Umno Perlis manakala Md Isa dikekalkan sebagai pengerusi - satu jawatan yang pernah disandang oleh Shahidan sebelum ini.

Dikatakan beberapa usaha telah dibuat oleh Umno Pusat untuk meredakan kemelut di negeri utara tanah air itu namun masih menemui jalan buntu.

Kerajaan Kedah Keluar Dana Untuk Sekolah Terbakar

ALOR SETAR- 

Kerajaan Negeri Kedah akan menyumbang dana kepada pengurusan Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy, Lebuhraya Sultan Abdul Halim yang terbakar baru-baru ini.

Menurut Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ismail Salleh, sehingga ini jumlah sebenar dana yang akan disalurkan kepada maahad tersebut belum lagi diputuskan. Namun begitu sumbangan bagi meringankan beban pelajar dan maahad akan diberikan berdasarkan kepada kemampuan Kerajaan Negeri.

"Dana yang akan disumbangkan kepada pihak pengurusan maahad adalah bagi membantu meringankan beban mereka. Ia juga bagi membolehkan bangunan yang terbakar itu dibaik pulih atau membangunkan bangunan baru bagi kemudahan 65 pelajar yang sedang mengikuti pelajaran agama di situ," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Pada pagi 16 Januari yang lalu, bangunan dua tingkat yang menempatkan 54 pelajar lelaki dan 11 pelajar perempuan yang berusia antara 13 hingga 25 tahun telah terbakar. Namun begitu tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

Dalam kejadian tersebut, lima pelajar tinggal sehelai sepinggang apabila barang keperluan seperti pakaian dan kitab pengajian musnah dijilat api.

Manakala beberapa kelas di tingkat atas bangunan dua tingkat itu turut musnah.
Mudir Maahad, Ustaz Mohd Rodhi Abdul Rahman turut memohon sumbangan daripada orang ramai untuk membantu memulihkan pusat pengajian tersebut dan para pelajar.

Bagi pihak yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh diberi melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 02011010080175 atas nama Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zalifah atau menghubungi talian 019-5455285.

Wednesday, January 19, 2011

Penyokong Md Isa Cabar Penyokong Shahidan Berdebat

PADANG BESAR, 19 Jan- 
Konflik yang melibatkan Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh dengan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Padang Besar, Ali Ismail terus berlanjutan dengan perkembangan terbaru timbulnya desakan supaya diadakan perdebatan antara kedua-dua pihak berhubung isu 'mentalkinkan Umno Perlis' yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Menurut sumber dalaman Umno negeri itu kepada Harakahdaily, cabaran supaya Hashim yang dilihat menyebelahi bekas menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim menerima pelawaan Ali sebagai penyokong Menteri Besar, Datuk Seri Isa Sabu untuk berdebat, telah diusulkan dalam mesyuarat Umno Bahagian yang diadakan pada minggu lalu.

Cabaran itu dikatakan bertujuan merungkai segala permasalahan yang timbul dan isu yang melibatkan Umno Negeri Perlis.

Isu 'mentalkinkan Umno Perlis' dikatakan tercetus dalam satu majlis melibatkan sebahagian pemimpin vateran Umno Perlis yang kecewa dengan tindakan Umno pusat yang masih lagi mengekalkan Md Isa sebagai Pengerusi Umno negeri.

Keadaan dikatakan lebih parah apabila Shahidan yang dilihat tidak sehaluan dengan Md Isa dilantik pula sebagai timbalan pengerusi mengantikan tempat Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Shahidan sendiri seperti dilaporkan media pernah mendakwa keputusan mengekalkan Md Isa sebagai pengerusi mempunyai kaitan dengan campur tangan pihak tertentu.

Malah beliau turut mempersoalkan sejauh mana Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dijadikan penanda aras oleh pucuk kepimpinan Umno terhadap pencapaian seseorang pemimpin, terutama di negeri itu.

Shahidan juga secara terbuka mengakui sukar untuk bekerjasama dengan Md Isa yang disifatkan merampas jawatannya sebelum ini.

"Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai 'menyamun' jawatan saya sebelum ini," kata Shahidan lapor sebuah akhbar arus perdana.

Sementara itu perlantikan Shahidan pula mendapat tentangan penyokong Zahidi yang mahu beliau terus dikekalkan sebagai timbalan pengerusi.

Sehubungan itu pemarhati meramalkan konflik antara 'team' Shahidan dan 'team' yang menyokong Md Isa akan tidak akan berhenti dalam masa terdekat, malah dipercayai kedua-duanya akan lebih agresif menjelang pemilihan pimpinan peringkat cawangan-cawangan yang akan bermula Mac nanti.

Friday, January 14, 2011

Mahathir bimbang budaya 'cantas-mencantas' dalam Umno Kedah

KUBANG PASU, 14 Jan- 

 Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed mendakwa wujudnya amalan 'cantas-mencantas' dalam Umno Kedah yang boleh menggugat usaha parti tersebut merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Kata Mahathir, tabiat yang sekian lama menjadi amalan pimpinan Umno ini harus segera dikikis sekiranya ingin memenangi semula pilihan raya.

"Masalah ini kerap berlaku dalam pimpinan Umno. Apabila ada orang lain hendak naik, maka yang tidak dapat naik akan cuba mencantas yang hendak naik. Manakala apabila ada orang yang tidak naik mendapat kenaikan, maka yang lain pula akan mencantas yang ini.

"Sikap buruk ini, sepatutnya tidak menjadi amalan dan dihapuskan sekiranya Umno dan BN ingin merampas kembali kerusi yang terlepas dalam pilihan raya umum yang lalu, " katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Giat Mara Prima di sini semalam.

Kata Mahathir lagi, tabiat buruk pimpinan Umno ini perlu dihapuskan bukan saja diperingkat kepimpinan tetapi juga sehingga ke peringkat 'grass root' .

Baru-baru ini Umno membuat rombakan kepimpinan di Kedah melibatkan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai pengerusi dan Datuk Mukhriz Mahathir dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Sehubungan itu, ramai pemerhati melihat kenyataan terbaru Mahathir itu berkaitan dengan perlantikan anaknya yang dikatakan tidak disenangi sesetengah pimpinan Umno negeri itu.

Sebelum ini Mahathir juga pernah menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau terbabit dalam mempengaruhi keputusan pucuk pimpinan Umno dalam melantik anaknya sendiri sebagai timbalan pengerusi Umno Kedah atas tujuan untuk mempersiapkan tokoh muda itu sebagai Menteri Besar pada masa depan.


Tuesday, January 11, 2011

Kerajaan Kedah teruskan operasi KCE

ALOR SETAR, 11 Jan- 
Kerajaan Negeri Kedah mengambil keputusan tidak akan menutup anak syarikatnya, Kedah Communication & Event Sdn Bhd (KCE) sepertimana keputusan yang telah dicapai semalam.
Menurut Exco Kerajaan Negeri, S.Manikumar, KCE tidak akan ditutup. amun pengurusannya telah diberi jangkamasa tertentu untuk melihat kembali segala permasalahan yang timbul.

"Kita akan cuba mempertahankan anak syarikat kerajaan negeri ini melalui aspek penambahbaikan yang telah dikenal pasti. Ini termasuklah dalam aspek pengurusan.

"Buat ketika ini, ia masih beroperasi seperti biasa. Terdapat harapan besar pada KCE dan kita yakin sepenuhnya pada Perbadanan Menteri Besar Kedah atau PMBKed untuk mengatasi masalah yang timbul. Sebagai Pengerusi KCE saya akan melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini, " katanya.

Baru-baru ini desas-desus mengenai penutupan KCE telah hangat diperkatakan di negeri ini.
Timbulnya isu ini adalah ekoran notis pemberhentian kerja dan operasi yang ditandatangani oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Fuad Mohd Ali yang diterima oleh kakitangan anak syarikat tersebut.

Ekoran itu kebimbangan wujud dikalangan kakitangan kerana bimbang hilang punca pendapatan.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif PMBKed, Datuk Bakar Din turut menyatakan pengurusan KCE akan distruktur semula berikutan kewujudan masalah dalaman yang dihadapi oleh anak syarikat tersebut.

Manikumar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Bukit Selambau, turut memberi keyakinan akan melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan ke atasnya dengan terbaik bagi membantu menangani masalah tersebut.

PRU: Kedah bayangkan tidak ikut pusat

ALOR SETAR, 11 Jan
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak membayangkan negeri itu tidak semestinya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) peringkat pusat.

Menurut Menteri Besar, pembubaran DUN Kedah bergantung kepada keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan rakyat (PR) yang bersepakat untuk memutuskan sendiri tarikh PRU bagi negeri-negeri yang dikuasai.

Ketika ini PR menguasai empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
"Bagi kerusi DUN, kehendak kerajaan BN (menentukan tarikh pilihan raya umum) tidak semestinya menjadi ikutan (negeri)," kata beliau dalam pertemuan dengan seorang wakil media.

Bagaimanapun kata Azizan dalam kontek kerusi parlimen, PAS akan menyertainya tidak kira waktu bila pilihan raya itu akan diumumkan oleh kerajaan pusat.

"Kita tidak akan beri ruang sedikit pun kepada BN walaupun pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat. Tapi bagi negeri yang kita kuasai, ia bergantung kepada Majlis Pimpinan PR untuk memutuskan bila DUN akan dibubarkan," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Pembubaran DUN walaupun lazimnya dilakukan selepas pembubaran parlimen bagi 
membolehkan pilihan raya umum dijalankan serentak tetapi Menteri Besar mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya negeri dengan mendapat perkenan Sultan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor turut menegaskan untuk tidak membubarkan DUN sekiranya kerajaan pusat mengadakan pilihan raya umum tergempar atau dalam masa terdekat.

Keputusan yang diambil hasil perbincangan pimpinan PR peringkat negeri itu antaranya mengemukakan alasan mahu menggunakan mandat lima tahun sepenuhnya bagi melaksanakan janji-janji kepada rakyat tanpa terikat dengan rentak Barisan Nasional.

Mengulas lanjut tentang tarikh pilihan raya umum yang sentiasa menjadi teka-teki di negara ini, Azizan menasihatkan pimpinan kerajaan BN supaya tidak lagi mengamalkan sikap demikian.
Kata beliau, rakyat hari ini tidak boleh diperbodohkan sepertimana yang dilakukan sebelum ini kerana sebahagian besar rakyat sudah celik politik malah menyedari apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Selain itu kata beliau, teka-teki tarikh pilihan raya yang menjadi permainan BN langsung tidak menggusarkan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya BN yang takut untul mengumumkan tarikh PRU sekiranya mereka merasa sukar untuk mendapat kemenangan.

Rancangan sulit tukar kepimpinan PAS hanya propaganda - Phahrolrazi

ALOR SETAR, 11 Jan-
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Dato' Ir.Phahrolrazi Zawawi mengingatkan ahli PAS supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya wajud perancangan sulit di kalangan kumpulkan tertentu dalam PAS untuk mengubah pucuk pimpinan parti yang diterajui oleh Ulama. 

Malah beliau menyifatkan khabar angin tersebut sebagai propoganda pihak lawan yang sentiasa merancang strategi untuk mencetuskan suasana panas dalam PAS bagi tujuan melemahkan perjuangan PAS selain mengalih tumpuan pendokong PAS daripada agenda yang sepatutnya.

Selain itu, beliau juga tidak menolak cerita yang disebarkan kononnya usaha sedang dilakukan untuk mengambil alih kuasa dari kepimpinan ulama dalam PAS itu juga strategi jangka pendek untuk memecah-belahkan ahli PAS menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor tidak lama lagi.

"Sebenarnya golongan ulama dan juga golongan profesional merupakan golongan yang mempunyai peranan tersendiri. Dalam PAS amalan kronisme dan puak tidak pernah wujud.
"Kumpulan dari kalangan profesional dan ulama sering bergandingan bagi mencapai aspirasi perjuangan parti untuk menegakkan keadilan dan memartabatkan Islam sebagai wadah perjuangan, " kata beliau.

Phahrolrazi berkata demikian mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendakwa wujudnya perancangan sulit bagi mengubah pucuk pimpinan menjelang pemilihan PAS menjelang Jun yang akan datang.

Sebelum pemilihan pimpinan PAS dua tahun lalu, PAS juga pernah menghadapi krisis yang dilihat seolah-olah berlaku pertembungan antara dua kumpulan dalam parti yang mewakili kumpulan Ulama dan profesional melalu laporan-laporan di media dan internet.

Bagaimanapun isu tersebut semakin kurang diperkatakan selepas muktamar berlangsung.

Monday, January 10, 2011

Umno Kedah: Badrul pula bidas Syed Sobri

ALOR SETAR, 9 Jan-
Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrol Hisham Hashim meminta Naib Ketua Umno bahagian Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim supaya tidak campurtangan dalam isu membabitkan Pemuda Umno Kedah atau Pemuda Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya.

Kenyataan terbaru Badrul itu merupakan reaksi keras beliau ekoran kritikan terbuka yang dilemparkan oleh Syed Sobri beberapa hari lalu berhubung tindakannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Sepatutnya beliau (Syed Sobri) memberi tumpuan terhadap perkhidmatannya sebagai wakil rakyat bagi kawasan yang diwakilinya, bukannya berlagak seperti wakil rakyat pembangkang (Pakatan Rakyat)," tegas Badrul.

Sebelum ini tindakan Badrol yang mengadakan protes terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di hadapan pejabat SPRM Kedah disifatkan oleh Syed Sobri tidak kena pada tempatnya, kerana ia sepatutnya diadakan di Wisma Darul Aman.

Syed Sobri juga mempertikaikan tindakan Badrul kerana loparan yang dibuat terhadap GLC kerajaan negeri Kedah itu hanya bersandarkan penulisan blog semata-mata tanpa penyelidikan yang lebih terperinci.

Malah dalam kritikan pedasnya, Syed Sobri berkata tindakan tergesa-gesa Badrul itu "boleh membahayakan parti sendiri."

Dalam pada itu, perkembangan melibatkan hubungan dua tokoh pemuda Umno Kedah yang dilihat sebagai gambaran kepada kemelut Umno negeri itu, turut disifatkan para pemerhati akan menyeret Umno ke dalam masalah lebih besar melibatkan ketidakserasian pimpinan Umno Kedah.

Konflik kepimpinan yang berlaku dalam Umno Kedah bukan satu perkara baru. Sebelum ini masalah kepimpinan tercetus dalam Umno bahagian Sungai Petani yang dipimpin oleh Ketuanya Ali Yahaya selain dalam Umno Padang Terap sendiri.

Dalam perkembangan lain, tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib melantik Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah sebagai Pengerusi baru Perhubungan Umno Kedah menggantikan Datuk Shafie Afdal juga disifatkan sebagai usaha untuk cuba mengendurkan ketegangan dalaman Umno yang berlaku.

Saturday, January 8, 2011

 Ungkapan 'balik India': Pegawai Guang Eng minta serah rakaman CCTV

GEORGETOWN, 8 Jan- 
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik, menafikan beliau mengeluarkan kata-kata rasis bersifat perkauman terhadap pengusaha Restoran Nasi Kandar Aliyar, Syed Kesali Mohamed Aliyar dalam operasi yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada malam Ahad yang lalu.

Mengulas dakwaan yang dilemparkan kepadanya, Ng berkata, sekiranya benar terdapat perkataan rasis yang dikeluarkan oleh beliau terhadap pengusaha tersebut sepertimana yang didakwa, bukti rakaman  CCTV yang ada di restoran tersebut sepatutnya dikemukakan sebagai bahan bukti.

Sebelum ini NG yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar didakwa melemparkan ungkapan 'tutup kedai, balik India' kepada pengusaha tersebut dalam satu insiden yang melibatkan anggota penguatkuasa MPPP serta beberapa individu lain.

Ekoran dakwaan tersebut, Ng telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pattani, semalam.

"Laporan ini meminta supaya pihak polis membuat siasatan terhadap dakwaan fitnah yang dilemparkan oleh pengusaha restoran tersebut dan Pengerusi Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang, Faruk Raja Mohamed.
"Tindakan ini adalah bagi membuktikan bahawa DAP bukan sebuah parti perkauman sepertimana yang difitnah oleh sesetengah pihak. Manakala segelintir dari mereka yang terlibat ini berniat jahat dan cuba untuk menjadikan isu ini sebagai mainan politik murahan mereka, " ujarnya.

Ng juga meminta pengusaha tersebut supaya segera menyerahkan rakaman CCTV yang ada sebagai bukti kepada pihak polis bagi memudahkan siasatan terhadap dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

"Sekiranya saya tidak membuat ungkapan tersebut, maka pihak polis harus mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba membuat dakwaan palsu dengan niat jahat dan berunsur perkauman itu," tegasnya lagi.

Lapor SPRM: Badrul Hisham dibidas Naib KP Umno Padang Terap

ALOR SETAR, 8 Jan-
Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrul Hisham Hashim yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah atas dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan syarikat berkaitan kerajaan atau GLC Kedah dibidas oleh Naib Ketua Umno Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang berkata, sumber rujukan berpandukan penulisan blog bersifat peribadi yang dijadikan sandaran oleh Badrul dalam membuat laporan kepada SPRM amat bahaya kerana ia tiada mempunyai kekuatan serta boleh menyusahkan Umno.

"Sepatutnya beliau perlu membuat kajian dan penelitian mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan berhubung kelemahan Kerajaan Pakatan Rakyat. Kesahihan bersandarkan kepada bukti yang kuat adalah satu keperluan. Mintalah pandangan pemimpin yang lebih berpengalaman sebelum bertindak," tegasnya.

Malah tindakan Badrul itu disifatkan oleh Syed Sobri dengan sebagai satu tindakan yang boleh mencalarkan imej Umno sendiri apabila rancangan tersebut tidak membawa kesan yang baik kepada parti yang dinaungi.

Sebelum ini Ketua Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahaya turut membidas Badrul kerana menggunakan tulisan diblog sebagai rujukan untuk membuat laporan kepada SPRM.

Badrul yang juga Ketua Pemuda BN Kedah sebelum ini juga bertindak bersama-sama penyokong beliau mengadakan bantahan dengan mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan SPRM Kedah mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar (MB).

Namun begitu tindakan mereka ini dilihat pemerhati sebagai satu usaha politik bagi mendapati publisiti menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Thursday, January 6, 2011

Tenang: Muslimat Kedah Siap Sedia Turun Padang

LUNAS, 6 Jan- 
 Muslimat PAS Kedah, telah membuat persiapan rapi bagi menurunkan anggota jentera bagi membantu kemenangan calun PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, yang akan diadakan pada 30 Januari yang akan datang.

Menurut Ketuanya, Siti Aishah Ghazali ketika ditemui semalam berkata, segala persiapan telah pun dilakukan bagi menggerakkan sepenuh jentera pilihan raya ke kawasan Dun Tenang.

"Bagi tarikh penamaan calun pada 22 Januari dan juga pada hari pembuangan undi segala persiapan telah pun disempurnakan bagi menggempur kubu yang menjadi milik Umno itu.

"Tiada apa yang mustahil, pilihan raya lalu PAS berjaya kurangkan mejoriti Barisan Nasional (BN) berbanding jumlah majoriti yang mereka perolehi pada pilihan raya umum 2004, kali ini kita mengharapkan kerusi tersebut dapat dirampas dan menjadi milik PAS," katanya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah mengakui kerusi Tenang sekarang sudah tidak lagi berada dalam keadaan tenang, memandangkan pelbagai isu korup, skandal, penyelewengan pimpinan BN sedang dibongkar.

"Mereka begitu takut sekiranya maklumat sebenar pembongkaran ketidakadilan yang mereka lakukan itu sampai ke pengetahuan rakyat terutamanya menjelang PRK Tenang dan juga PRU ke-13 yang akan datang, " tambahnya lagi.

Wednesday, January 5, 2011

Tidak Dihormati, Eloklah Khairy Berundur

JERAI, 5 Jan- 
 Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar menyokong cadangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berundur dari persada politik negara seperti yang dinyatakan baru-baru ini.

Menurut Firdaus lagi, kepimpinan Khairy sememangnya tidak dihormati dan direstui oleh Umno pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti.

"Dalam Umno, jelas terbukti siapa yang tidak sehaluan dengan kepimpinan mereka akan dicantas lebih awal lagi. Mereka juga tidak mengamalkan prinsip demokrasi secara total. Suara ahli tidak dihormati.

"Dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) juga suara anak muda tidak dihormati. Prinsip keadilan tidak menjadi teras kepada pegangan dan perjuangan yang diamalkan oleh kepimpinan parti tersebut," ujarnya lagi ketika menghubungi Harakahdaily pagi tadi.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat turut menyatakan pelantikan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri dan Timbalan Pengerusi Umno Kedah adalah satu contoh yang sebenar.

Katanya lagi, sememangnya Khairy sudah tidak diperlukan lagi dalam Umno apabila Najib menerajui kepimpinan parti dan negara.

"Oleh kerana itu sekiranya Khairy berhasrat untuk bersara selepas pilihan raya umum yang akan datang, adalah lebih baik bagi beliau daripada terus diperalatkan oleh kepimpinan Umno.
"Cantas, diskriminasi dan kronisme sudah sebati dalam sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Umno dan BN. Ia juga sudah parah dan sukar untuk dihapuskan kerana telah menjadi darah daging sejak kepimpinan terdahulu lagi," tegasnya lagi.

Tuesday, January 4, 2011

Piala Suzuki: Kedah Turut Beri Imbuhan

ALOR SETAR, 4 Jan-
Lima pemain negeri Kedah yang terlibat dalam aksi cemerlang skuad negara membawa pulang Piala Suzuki AFF di Indonesia baru-baru ini akan menerima imbuhan khas daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan, Kebudayaan negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, imbuhan yang berupakan wang sagu hati telah pun dibawa ke meja rundingan.

"Walau bagaimana pun jumlah sagu hati yang sebenar akan diputuskan semula dalam mesyuarat eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam masa yang terdekat ini.
"Ini juga merupakan insentif bagi menguatkan semangat juang yang ada pada mereka kerana telah berjaya membawa kembali piala yang menjadi penantian negara selama 14 tahun," ujarnya lagi.

Kelima-lima pemain yang terbabit ialah Amar Rohidan, Khairul Hilmi Johari, Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Khryril Muhymeen Zambri dan Mohd Sabree Md Abu.
Beliau yang juga merupakan Setiausaha Kehormat KFA yakin, sukan bola sepak negeri Kedah akan turut menyinar dengan adanya penglibatan tujuh pemain kebangsaan dalam skuad bola sepak negeri.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan turut memberi imbuhan kepada pemain negeri tersebut, Khairul Fahmi Che Mat dengan menghadiahkan sebuah rumah.

Manakala Kerajaan Negeri Perlis juga turut mengambil inisiatif yang sama untuk memberi imbuhan kepada anak Perlis, Amar Rohidan walaupun beliau sudah bersama skuad Kedah.
Dalam kejohanan merebut kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta baru-baru ini skuad Harimau Malaya telah berjaya menjuarai kejohanan tersebut dengan mengalahkan pasukan Indonesia melalui agregat 4-2.

Monday, January 3, 2011

Hasil Balak Kedah Meningkat 205 Peratus

ALOR SETAR,3 Jan-

Kerajaan Kedah di bawah Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya meningkatkan hasil balak hampir 205 peratus berbanding hasil yang dikutip oleh Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahan mereka sebelum ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengulas mengenai pencapaian memberansangkan ini berkata, hasil dari sistem tender terbuka yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah PR berjaya memberi pulangan yang menggalakkan kepada negeri.

"Sistem tender terbuka yang diperkenalkan memberi pulangan positif kepada kerajaan dan rakyat negeri ini. Pada tahun 2008 yang lalu semasa pengambilalihan kuasa pentadbiran, hasil pungutan balak hanyalah sebanyak RM35 juta. Ia meningkat kemudiannya kepada RM39 juta pada tahun 2009 yang lalu.

"Namun begitu pada tahun 2010 hasilnya premium balak berjaya mencecah sehingga RM50 juta," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, hasil ketelusan dan sistem tender terbuka yang menjadi polisi kepada Kerajaan Kedah turut membuktikan bahawa gejala rasuah dan kronisme dapat dielakkan.

Sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara telah melaporkan Kedah berjaya meningkatkan pendapatan dari hasil balak sebanyak 205 peratus pada tahun 2010 jika dibandingkan dengan tahun sebelum 2008 semasa pemerintahan BN dengan mendapat pulangan dalam lingkungan RM8 juta sahaja.

Saturday, January 1, 2011

Tapak Warisan Dunia: Perusahaan Burung Walit Dilarang

GEORGETOWN, 31 Dis-
Aktiviti perusahaan burung walit tidak akan dibenarkan beroperasi lagi di Tapak Warisan Dunia oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bermula pada 1 Januari 2011 akan datang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri, Chow Kon Yeow, dengan larangan tersebut maka kesemua 78 pengusaha burung walit yang sedang beroperasi di tapak tersebut perlu menghentikan operasi mereka berkuatkuasa pada tarikh tersebut.

"Kesemua pengusaha tersebut perlu menghentikan operasi mereka dan mencari lokasi lain dalam tempoh tiga tahun mulai 1 Januari 2011 ini.

"Dalam jangkamasa tersebut, mereka juga tidak dibenarkan menggunakan alat rakaman bunyi. Semua struktur tambahan pada bangunan yang telah didirikan tanpa mendapat permit dari pihak berkuasa tempatan harus segera dirobohkan serta dipulihkan semula premis tersebut kepada keadaan asal, " katanya lagi.

Kata Chow, dari sejumlah 129 pengusaha burung walit yang terdapat di Pulau Pinang, hanya 78 sahaja yang terlibat dalam aktiviti di kawasan Tapak Warisan Dunia.

Pada 7 Julai 2008 yang lalu Georgetown dan Melaka telah mendapat pengiktirafan dari Jawatankuasa Mesyuarat Warisan Dunia sebagai Tapak Warisan Dunia.

Sehubungan itu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil insiatif bagi mengekalkan kawasan tapak tersebut dari dicemari oleh apa jua aktivtiti yang boleh mencemarkan imej dan kedudukan kawasan tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia.

PAS Turun Segala Jentera Untuk Menang

'MAJORITI UMNO BERKURANGAN'
TASEK GELUGOR, 1 Jan-

PAS perlu mempertahankan majoriti Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, yang telah berjaya diperolehi dalam pilihan raya umum yang lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ketika berucap dalam ceramah anjuran PAS kawasan Tasek Gelugor di Dewan Besar Sungei Dua, kelmarin.
Menurut beliau, walaupun Dun Tenang adalah kubu kuat Umno, ia tidak menjadi satu permasalahan besar kerana berdasarkan kepada senario politik terkini, rakyat inginkan perubahan dari takuk lama.

"Walaupun mereka telah memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya 2004 dan 2008 yang lalu, tetapi majoriti yang Umno perolehi telah berjaya dikurangkan pada kedua-dua pilihan raya umum tersebut.

"Majoriti yang diperolehi ini juga mempengaruhi sokongan yang diterima oleh parti yang bertanding. Oleh kerana itu maka PAS akan berusaha untuk memenangi kerusi tersebut dengan menurunkan segala jentera yang ada bagi memastikan tiada jalan mudah bagi Umno BN dalam PRK kali ini," ujarnya lagi.

Dalam PRU 2004 yang lalu calon BN, Datuk Sulaiman Taha berjaya memperolehi kemenangan apabila mengalahkan calon PAS, Mohd Sain Siran dengan majoriti sebanyak 5,517 undi.
Namun begitu dalam PRU 2008 pula menyaksikan jumlah majoriti yang diperolehi oleh BN telah berkurangan kepada 2,492 undi sahaja.

"Ini membuktikan PAS mampu untuk membuat perubahan seterusnya dalam PRK yang akan diadakan pada 30 Januari yang akan datang, " tegasnya lagi.