Monday, January 24, 2011

'Talkin Umno Perlis': Ali Sahut Cabaran Debat

KANGAR- 

Cabaran debat dalam isu ' talkin untuk Umno Perlis' antara bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh,  dengan Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Padang Besar, Ali Ismail mungkin menjadi realiti menjelang Februari yang akan datang.

Menurut sumber dalaman Umno Perlis, konflik yang berlarutan antara Hashim dan Ali sudah hampir mencapai klimaksnya apabila Ali dikatakan sanggup menerima cabaran dari Hashim untuk mengadakan debat pada 3 Februari.

"Kalau segala persiapan berjalan lancar, Ali tidak ada apa-apa masalah untuk berdebat," kata sumber itu.

Bagaimanapun Harakahdaily difahamkan ada pihak daripada Umno tidak bersetuju dengan perdebatan tersebut kerana menyifatkan Hashim tidak layak untuk bersemuka dengan Ali untuk membicarakan masalah kepimpinan Umno negeri kerana beliau (Hashim) tidak memegang apa-apa portfolio dalam parti, sedangkan Ali masih lagi AJK Umno bahagian.

Dalam perkembangan lain, Ali dilaporkan telah membidas Hashim kerana mendakwa tidak memahami erti sebenar debat yang dilaung-laungkan.

"Debat ini adalah untuk memberi penjelasan sebenar kepada masyarakat tentang konflik yang timbul, ini termasuklah isu mentalkinkan Umno Perlis sepertimana yang dibangkitkan oleh Hashim dalam beberapa kenyataan beliau sebelum ini, " ujarnya.

Isu debat mengenai mengenai' talkin untuk Umno Perlis' yang mencetuskan konflik dalaman Umno Perlis itu dikaitkan rentetan daripada pertembungan antara 'team' Menteri Besar, Dr. Md Isa Sabu dengan ' team' bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pertembungan kedua-dua kumpulan tersebut semakin parah apabila Shahidan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Umno Perlis manakala Md Isa dikekalkan sebagai pengerusi - satu jawatan yang pernah disandang oleh Shahidan sebelum ini.

Dikatakan beberapa usaha telah dibuat oleh Umno Pusat untuk meredakan kemelut di negeri utara tanah air itu namun masih menemui jalan buntu.

Kerajaan Kedah Keluar Dana Untuk Sekolah Terbakar

ALOR SETAR- 

Kerajaan Negeri Kedah akan menyumbang dana kepada pengurusan Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy, Lebuhraya Sultan Abdul Halim yang terbakar baru-baru ini.

Menurut Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ismail Salleh, sehingga ini jumlah sebenar dana yang akan disalurkan kepada maahad tersebut belum lagi diputuskan. Namun begitu sumbangan bagi meringankan beban pelajar dan maahad akan diberikan berdasarkan kepada kemampuan Kerajaan Negeri.

"Dana yang akan disumbangkan kepada pihak pengurusan maahad adalah bagi membantu meringankan beban mereka. Ia juga bagi membolehkan bangunan yang terbakar itu dibaik pulih atau membangunkan bangunan baru bagi kemudahan 65 pelajar yang sedang mengikuti pelajaran agama di situ," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Pada pagi 16 Januari yang lalu, bangunan dua tingkat yang menempatkan 54 pelajar lelaki dan 11 pelajar perempuan yang berusia antara 13 hingga 25 tahun telah terbakar. Namun begitu tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

Dalam kejadian tersebut, lima pelajar tinggal sehelai sepinggang apabila barang keperluan seperti pakaian dan kitab pengajian musnah dijilat api.

Manakala beberapa kelas di tingkat atas bangunan dua tingkat itu turut musnah.
Mudir Maahad, Ustaz Mohd Rodhi Abdul Rahman turut memohon sumbangan daripada orang ramai untuk membantu memulihkan pusat pengajian tersebut dan para pelajar.

Bagi pihak yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh diberi melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 02011010080175 atas nama Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zalifah atau menghubungi talian 019-5455285.