Saturday, January 8, 2011

 Ungkapan 'balik India': Pegawai Guang Eng minta serah rakaman CCTV

GEORGETOWN, 8 Jan- 
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik, menafikan beliau mengeluarkan kata-kata rasis bersifat perkauman terhadap pengusaha Restoran Nasi Kandar Aliyar, Syed Kesali Mohamed Aliyar dalam operasi yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada malam Ahad yang lalu.

Mengulas dakwaan yang dilemparkan kepadanya, Ng berkata, sekiranya benar terdapat perkataan rasis yang dikeluarkan oleh beliau terhadap pengusaha tersebut sepertimana yang didakwa, bukti rakaman  CCTV yang ada di restoran tersebut sepatutnya dikemukakan sebagai bahan bukti.

Sebelum ini NG yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar didakwa melemparkan ungkapan 'tutup kedai, balik India' kepada pengusaha tersebut dalam satu insiden yang melibatkan anggota penguatkuasa MPPP serta beberapa individu lain.

Ekoran dakwaan tersebut, Ng telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pattani, semalam.

"Laporan ini meminta supaya pihak polis membuat siasatan terhadap dakwaan fitnah yang dilemparkan oleh pengusaha restoran tersebut dan Pengerusi Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang, Faruk Raja Mohamed.
"Tindakan ini adalah bagi membuktikan bahawa DAP bukan sebuah parti perkauman sepertimana yang difitnah oleh sesetengah pihak. Manakala segelintir dari mereka yang terlibat ini berniat jahat dan cuba untuk menjadikan isu ini sebagai mainan politik murahan mereka, " ujarnya.

Ng juga meminta pengusaha tersebut supaya segera menyerahkan rakaman CCTV yang ada sebagai bukti kepada pihak polis bagi memudahkan siasatan terhadap dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

"Sekiranya saya tidak membuat ungkapan tersebut, maka pihak polis harus mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba membuat dakwaan palsu dengan niat jahat dan berunsur perkauman itu," tegasnya lagi.

Lapor SPRM: Badrul Hisham dibidas Naib KP Umno Padang Terap

ALOR SETAR, 8 Jan-
Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrul Hisham Hashim yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah atas dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan syarikat berkaitan kerajaan atau GLC Kedah dibidas oleh Naib Ketua Umno Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang berkata, sumber rujukan berpandukan penulisan blog bersifat peribadi yang dijadikan sandaran oleh Badrul dalam membuat laporan kepada SPRM amat bahaya kerana ia tiada mempunyai kekuatan serta boleh menyusahkan Umno.

"Sepatutnya beliau perlu membuat kajian dan penelitian mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan berhubung kelemahan Kerajaan Pakatan Rakyat. Kesahihan bersandarkan kepada bukti yang kuat adalah satu keperluan. Mintalah pandangan pemimpin yang lebih berpengalaman sebelum bertindak," tegasnya.

Malah tindakan Badrul itu disifatkan oleh Syed Sobri dengan sebagai satu tindakan yang boleh mencalarkan imej Umno sendiri apabila rancangan tersebut tidak membawa kesan yang baik kepada parti yang dinaungi.

Sebelum ini Ketua Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahaya turut membidas Badrul kerana menggunakan tulisan diblog sebagai rujukan untuk membuat laporan kepada SPRM.

Badrul yang juga Ketua Pemuda BN Kedah sebelum ini juga bertindak bersama-sama penyokong beliau mengadakan bantahan dengan mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan SPRM Kedah mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar (MB).

Namun begitu tindakan mereka ini dilihat pemerhati sebagai satu usaha politik bagi mendapati publisiti menjelang pilihan raya umum yang akan datang.