Thursday, December 30, 2010

PAS Tak Akan Biarkan Umno BN Rampas Kedah

'KITA AKAN TERUS BERJUANG TANPA MENYERAH KALAH' : MB KEDAH

 



















ALOR SETAR, 30 Dis-

Biarpun adanya perubahan pada pucuk kepimpinan Umno negeri di Kedah, ia tidak akan memberi apa-apa impak terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui oleh PAS selama ini.

Mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kedah yang baru, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berikrar untuk merampas semula pemerintahan negeri dalam pilihan raya umum yang akan datang, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengalu-alukan hasrat murni pemimpin Umno tersebut.

"Hasrat dan cita-cita beliau itu adalah sesuatu yang baik. Namun begitu, sekiranya pimpinan baru yang dilantik menerajui kepimpinan tidak dapat membuat reformasi yang lebih efektif dari kepimpinan terdahulu, maka adalah lebih baik teraju sebelum ini dikekalkan.

"Walau apa pun aspirasi mereka, PAS tidak akan sekali-kali memberi peluang kepada Umno untuk meneruskan hasrat mereka untuk mencapainya dengan jalan yang mudah. Siapa saja yang menjadi pesaing kepada parti lawan, kita akan terus berjuang tanpa menyerah kalah kepada mereka," tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Bashah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata menggantikan Datuk Seri Shafie Afdal sebagai Pengerusi Umno Kedah.
Rombakan yang dibuat itu juga sebagai salah satu alternatif Umno bagi menguatkan barisan kepimpinan negeri yang terdiri dari pemimpin tempatan menjelang pilihan raya umum yang dijangka akan bermula tidak lama lagi.

Friday, December 24, 2010

Kedah Tidak Amal Diskriminasi : Amiruddin

PAS HORMAT DAP

ALOR SETAR-

Kerajaan Negeri Kedah tidak mendiskriminasi mana-mana pihak dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, kata Exco Kerajaan Negeri, Dato' Ir Amiruddin Hamzah ketika mengulas isu yang dilemparkan kepada Kerajaan Negeri kebelakangan ini.

"Sebenarnya Kerajaan Negeri tidak mengenepikan atau meminggirkan mana-mana pihak. Ini termasuklah parti dalam komponen Pakatab Rakyat (PR).

"Kemungkinan persepsi sedemikian wujud kerana jika dilihat dalam komponen parti yang menganggotai Kerajaan Negeri didominasi oleh PAS. Namun begitu walaupun DAP hanya satu kerusi yang dikuasai kita tetap menghormati mereka dan diberi peranan bersama," jelas beliau.

Amiruddin yang juga ketua Penerangan PAS Kedah berkata, apa yang menjadi prioriti sekarang ialah apa jua tuntutan perlu dibawa ke Majlis Pimpinan Tertinggi PR sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya jika DAP hanya mempunyai satu kerusi saja dalam Kerajaan Negeri Kedah, begitu juga dengan Pulau Pinang dimana PAS hanya mendapat satu kerusi saja di Permatang Pasir.
Namun begitu, tidak timbul perasaan prejudis terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri. Sebaliknya isu ini hanya dimainkan oleh pihak yang kalah dan kecewa setelah kehilangan kuasa untuk memimpin negeri.

"Harapan kita ialah menguatkan jentera yang ada pada negeri-negeri yang telah berjaya dikuasa oleh PR dan terus mempertahankan kuasa Kerajaan Negeri yang ada, disamping memenangi beberapa buah negeri dan juga negara dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang, " tambahnya lagi.

Program 100 Hari PR atasi 53 tahun BN

BARISAN NASIONAL MENGELABAH

ALOR SETAR, 24 Dis-

Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat,  Mohd Firdaus Jaafar menyifatkan reaksi mengelabah para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap janji pakatan rakyat sekiranya memerintah, khususnya Program 100 Hari kerana ia akan mengatasi pencapaian BN selama 53 tahun mentadbir negara.

Kata beliau, apa yang terkandung dalam 'Buku Jingga' PR adalah sesuatu yang diluar jangkauan BN sendiri, sebaliknya bagi PR ia adalah satu aspirasi yang akan menjadi realiti sekiranya berjaya menjadi pemerintah.

"Setelah 53 tahun memerintah BN tidak mampu untuk memberi apa yang tercatat dalam Program 100 Hari PR tersebut," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai.
"Misalnya, pemberian imbuhan khas pendidikan kepada para guru dan pegawai pendidikan tidak dilakukan oleh BN. Tapi PR akan lakukan, ini sudah mencabar dasar yang selama ini BN amalkan.

"Malah imbuhan ini juga akan menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion setahun. Ia lebih baik daripada menyalahgunakankan wang dengan penyelewengan, korupsi dan pembaziran melalui projek tidak berfaedah seperti diamalkan pemerintah ketika ini," kata beliau mengulas serangan bertali arus pemimpin BN terhadap janji PR melalui saluran media.

Sebelum ini PR mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan jangka pendek dan jangka panjang mentadbir negara sekiranya diberi peluang mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember lalu.
Antara yang menjadi perhatian, Buku Jingga itu turut mengariskan sepuluh perkara yang akan dilakukan oleh PR dalam tempoh 100 hari pertama memerintah, iaitu :
  1. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  2. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  3. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
  4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  5. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi  percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
  9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
  10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata perancangan PR yang merangkumi pendidikan, ekonomi, pengurusan negara, merombak struktur subsidi dan menitiberatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu bukan satu pembohongan sepert dakwaan pemimpin BN.

"Kenapa BN mesti takut dengan cadangan PR sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa rakyat sememangnya menyokong kepimpinan mereka. Apa yang jelas mereka gentar kerana Program 100 Hari tersebut mencabar kewibawaan dan kredibilit mereka," ujarnnya.

Monday, December 20, 2010

MCA Main Sentimen Perkauman : Guan Eng

KERAJAAN NEGERI P.PINANG ANTI MELAYU : UMNO
GEORGETOWN, 20 Dis: 
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, membidas MCA kerana cuba menjuarai masyarakat Cina dengan memainkan sentimen perkauman bagi meraih sokongan yang semakin lama semakin pudar terhadap mereka dan juga Barisan Nasional (BN).

Mengulas kenyataan Timbalan Bendahari MCA Selangor, Lee Ban Seng yang mendakwa Kerajaan Pulau Pinang tidak melaksanakan pemberian tender secara telus bagi semua projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ekoran 100 peratus nilai projek diserahkan kepada kontraktor Melayu yang layak, Lim menegaskan dakwaan tersebut berunsur perkauman.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, oleh kerana mempunyai kepentingan politik maka MCA melempar tohmahan dan fitnah dengan mengaitkan isu ini sebagai satu isu murahan mereka.

"Sebelum ini Umno mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai anti Melayu. Kemudian MCA pula menuduh kita sebagai anti Cina. Hakikatnya kita yang menerajui kerajaan tidak menjadikan perkauman sebagai modal politik.

"Kita tidak anti kepada mana-mana kaum kecuali BN yang ditentang kerana sikap mereka yang sering mempolitikkan isu dan sentimen kaum untuk kepentingan politik mereka, " ujarnya.
Lim menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak melaksanakan dasar berasaskan kepada kaum dan memilih bulu atau kronisme, tetapi pemilihan adalah berdasarkan kepada kredibiliti dan kepakaran serta kualiti tugas yang pernah dan akan dilaksanakan oleh kontraktor yang diberi kepercayaan.

Baru-baru ini Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan mendakwa Kerajaan Negeri tidak menyatakan jumlah nilai projek dan tender dengan benar.

Ekoran itu Lim mendedahan bahawa 100 peratus projek JPS serta 98 peratus projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri di bawah peruntukan Kerajaan Pulau Pinang diberikan kepada kontraktor Melayu yang layak.

Manakala 18 tender JPS yang bernilai RM40.94 juta juga dianugerahkan kepada kontraktor Melayu yang mempunyai kepakaran seperti mana yang dikehendaki. Sementara itu 16 dari 17 tender JKR yang bernilai RM20.4 juta turut diberikan kepada kontraktor Melayu membabitkan 98 peratus nilai projek.

Friday, December 17, 2010

SPR Terus Membisu Selepas 2 Bulan Bantah

PENGADU TIDAK LANGSUNG DIPANGGIL UNTUK SIASATAN : MB KEDAH

ALOR SETAR-  
Setelah dua bulan aduan dan bantahan dikemukakan berkaitan pendaftaran pemilih baru yang didakwa berlaku penipuan di Kedah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi membisu tanpa sebarang tindakan.

Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mempertikaikan kredibiliti badan itu berkata pihaknya tidak menerima tindak balas daripada SPR atau dipanggil untuk soal siasat berhubung dakwaan (penipuan) tersebut.

"Bantahan dibuat secara rasmi pada bulan Oktober yang lalu namun pengadu tidak langsung dipanggil untuk siasatan," kata beliau.

Menurut Azizan, pihaknya mendapati pendaftaran pemilih baru di Kedah bagi suku ketiga yang telah dipamerkan pada 27 Oktober ada unsur penipuan iaitu di beberapa kem tentera yang membabitkan isteri-isteri anggota tentera.
Kata beliau, PAS Kedah mendapati wujudnya nama yang dipamerkan dalam daftar tersebut, menetap di tempat lain tetapi nama mereka didaftarkan dalam kem-kem tersebut sebagai pemilih baru.

Antara kem-kem tentera yang didakwa terlibat ialah Kem Gubir, Kem Bukit Kayu Hitam serta Kompeni Batalion 304 Askar Wataniah di Belantek.

Sebelum ini sikap SPR yang dibidas sebagai lemah dalam melaksanakan tugas mereka turut didedahkan oleh PAS Pulau Pinang apabila sebahagian besar nama isteri-isteri tentera yang sebelum ini sebagai pemilih biasa telah didaftarkan sebagai pengundi pos.

Dalam kawasan Dewan Undangan Teluk Air Tawar penipuan ini turut didakwa berlaku oleh PAS Pulau Pinang apabila sebahagian besar isteri-isteri tentera secara tidak telus dan mengikut prosedur disenaraikan dalam daftar pemilih sebagai pengundi pos.

Tindakan meletakkan nama mereka yang tidak sepatutnya didaftarkan sebagai pengundi pos serta mendaftarkan mereka yang tidak tinggal dalam tempat yang didakwa membuktikan tidak efisiennya SPR.

Malah SPR yang disifatkan sebagai sebuah badan yang sepatutnya berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada mereka juga didakwa tidak berpandukan prosedur yang telah digariskan oleh mereka sendiri


Wednesday, December 15, 2010

Satun Terus Kerjasama Tarik Pelancong: KEDAH

600 PERSEMBAH KEBUDAYAAN MALAYU DAN THAI

ALOR SETAR-
Kerajaan Negeri Kedah terus mengadakan kerjasama dengan Wilayah Satun, Thailand dalam usaha mempertingkatkan sektor pelancongan yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancungan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, S.Manikumar,'Kedah-Satun International Fishing Challenge 2010'  yang akan diadakan pada Sabtu ini di Tasik Bandar Darul Aman, adalah salah satu aktiviti yang mensasarkan penyertaan 100 peserta dari Thailand.

Program ini katanya adalah rentetan dari kejayaan aktiviti Satun-Langkawi Paramotor Challenge yang telah diadakan baru-baru ini.

Seramai 600 pemancing tempatan dan Thailand akan memeriahkan pertandingan yang julung-julungkali diadakan ini.

Bagi memeriahkan lagi program tersebut, persembahan kebudayaan Melayu dan Thai akan dipersembahkan sebagai mempromosikan seni budaya negara kepada pelancong tempatan dan luar negara yang akan hadir pada hari tersebut.

"Melalui kerjasama sebegini, banyak manfaat yang boleh diperolehi bagi kedua-dua buah negeri dan juga negara. Satun yang merupakan salah sebuah wilayah di selatan Thailand berpotensi untuk memberi pulangan yang baik.

"Ia juga mempunyai populasi melebihi 200 ribu masyarakat Muslim di wilayah tersebut. Kedua-dua wilayah iaitu Satun dan Kedah mempunyai prospek pelancongan yang menarik untuk diketengahkan, " ujar beliau.

S. Manikumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau berkata, produk baru akan terus diterokai bagi mempromosi negeri Kedah kepada wilayah selatan Thailand yang mempunyai persamaan dari beberapa aspek budaya.


harakahdaily-

Sunday, December 12, 2010

Media Negara Amalkan Demokrasi Terpilih : Mohd Sabu

"MENGGUNAKAN MEDIA MENGHENTAM PAS, PKR & DAP"

Tindakan media arus perdana dalam negara ini yang tidak telus dalam melaporkan perkara sebenar menyebabkan mereka berada pada tangga ke-166 dalam senarai kebebasan dunia.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramah penerangan beliau di Dewan JKKK, Pajak Song, Kepala Batas, Seberang Perai Utara semalam.

Menurut beliau lagi, sikap "double standard" yang diamalkan oleh media perdana menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara fakta, kebenaran dan kebatilan.

"Apabila mereka tidak dapat membuat pertimbangan yang bijak, maka akhirnya yang menjadi mangsa adalah kebenaran.  Yang lebih parah lagi apabila wujudnya ketidaktelusan dalam menyampaikan maklumat."

"Malah demokrasi yang diamalkan oleh pihak media yang condong kepada pemerintah, hanya menjadikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai sesuatu yang benar.  Manakala parti lain yang berada dalam negara ini, walaupun sah dari segi perundangan akan dianggap sebagai tidak sah kepada mereka," ujarnya lagi.

Mohamad Sabu juga menyelar sikap kerajaan yang menjadikan demokrasi sebagai momokan sedangkan pada konsep sebenar ia tidak dilaksanakan.

Tambahnya lagi, demokrasi yang diamalkan oleh media luar negara seperti Indonesia, Filipina dan kebanyakan negara luar adalah lebih baik jika dibandingkan dengan sistem amalan yang dilaksanakan dalam negara oleh kerajaan sedia ada.

"Sebagai bukti kita dapat lihat bagaimana peranan berat sebelah yang dimainkan oleh media milik kerajaan.  Semasa pilihan raya diadakan mereka akan menggunakan media untuk menghentam parti lawan seperti PAS, PKR dan DAP."

"Sedangkan kita tidak diberi ruang dan peluang untuk membela diri.  Mereka boleh membelasah kita tanpa henti.  Sekelumit masa pun tidak mereka berikan untuk menyatakan visi dan misi kita untuk memperjuangkan hak dan membela nasib rakyat."

"Sekiranya keadilan mahu dilihat terbentuk dan dilaksanakan dalam negara, maka rakyat harus segera membuat reformasi dalam pilihan raya umum yang akan datang.  Hanya melalui mandat rakyat sahaja kita mampu merubah ketidakadilan yang ada dalam negara, " katanya lagi.

Dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah dengan menyekat maklumat parti lawan seperti Pakatan Rakyat (PR) bukan satu perkara baru yang diamalkan dalam negara ini.  Walau bagaimanapun dengan perkembangan siber terkini, maklumat kepada rakyat dapat dirobos melalui sistem yang ada tanpa perlu menaruh harapan yang tinggi kepada BN sebagai parti pemerintah untuk melebar-luaskan penyiaran maklumat bagi pihak PR.

Katanya lagi, Perhimpunan Agung UMNO yang seringkali diberikan liputan meluas oleh TV3 adalah bukti ketara bagaimana berlakunya diskriminasi media terhadap PR maupun parti politik yang tidak sehaluan dengan pemerintah.

"Namun begitu, PR tidak akan mengamalkan ketidakadilan yang menjadi amalan mereka menyelinap masuk seandainya tampuk pemerintahan berada dalam kekuasaan kita menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan datang."

"PR akan tetap mempraktikkan keadilan kepada semua golongan masyarakat tanpa mengambil kira kedudukan entiti, ras dan agama yang mereka anuti bagi memberi keadilan dan pembelaan yang sewajarnya," tegasnya lagi.

Majlis anjuran PAS kawasan Tasek Gelugor itu turut di hadiri oleh kepimpinan PAS, PKR dan DAP.

Pihak Tuntut Pulau Pinang Bukan Wakili Kedah

PAJAKAN RM10RIBU KEPADA RM10JUTA SETAHUN

ALOR SETAR- 
Cadangan yang dibuat oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), supaya Kedah menuntut hak ke atas Pulau Pinang, bukan mewakili Kerajaan, kata Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Bahkan tegas Azizan, beliau dan pihak kerajaan negeri tidak mengetahui apakah motif sebenar tuntutan yang dibuat oleh PSMCK bagi mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah sepertimana yang diwar-warkan kebelakangan ini.

Azizan berkata demikian mengulas isu yang telah dibangkitkan oleh PSMCK baru-baru ini supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah.

Dalam tuntutan yang dibuat PSMCK melalui Pengerusinya, Datuk Dr.Wan Shamsuddin Mohd Yusof, persatuan itu menuntut supaya Pulau Pinang diletakkan semula di bawah kekuasaan dan jajahan negeri Kedah berdasarkan kepada fakta sejarah yang lalu.

Isu tuntutan semula itu mendapat reaksi pro dan kontra pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin politik dan juga orang perseorangan di kedua-dua negeri.
Bagaimanapun Azizan mengakui kerajaan negeri pimpinannya menuntut supaya Kerajaan Pusat menaikkan nilai pajakan Pulau Pinang daripada RM10 ribu kepada RM10 juta setahun.

"Tuntutan tersebut telah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat sejak Pakatan Rakyat mulai menerajui kekuasaan negeri Kedah lagi. Namun begitu, sehingga kini tiada tindak balas yang diterima dari pihak Pusat mengenai perkara tersebut.

"Buat masa ini Kerajaan Negeri hanya menuntut supaya kadar pajakan dinaikkan, itu sahaja," kata Azizan.

harakahdaily -

Prof. Shahrir Hasilkan Buku 'Tok Guru Nik Aziz'

 
"TURUT DISEGANI MASYARAKAT BUKAN ISLAM"

PERMATANG PAUH- 
Buku bertajuk ' Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepimpinan Besar Sepanjang Zaman' hasil tulisan Prof. Dr Shahrir Mohd Zain telah dilancarkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato' Abdul Halim Hussain di Masjid Batu, Kampung Pertama, semalam.

Abdul Halim dalam ucapan pelancarannya menyatakan bentuk kesederhanaan dalam kepimpinan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Kelantan itu adalah suatu yang sukar diamalkan oleh mana-mana pemimpin dalam negara ini.

Katanya, sifat peribadi yang tinggi dipunyai oleh Nik Aziz itu bukan saja disenangi oleh majoriti rakyat Kelantan yang beragama Islam, malah ia turut disenangi oleh masyarakat bukan Islam.
"Wasatiyyah yang menggabungkan sifat keadilan dan kesederhanaan Tok Guru itu diungkapkan dalam buku ini bagi menjadi teladan kepada masyarakat. Ia adalah sebagai panduan dalam mengamati sifat peribadi yang harus ada pada kepimpinan sama ada peringkat bawahan maupun peringkat tertinggi.

"Beliau juga adalah tokoh sederhana dalam kepimpinan negara yang tidak juga dapat ditandingi sifatnya oleh mana-mana kepimpinan yang ada dalam negara ini walaupun telah berjaya memimpin Kelantan lebih dari 20 tahun hingga kini," ujar beliau.

Pelancaran kali ini adalah sebagai permulaan kepada pelancaran yang akan turut dilakukan di beberapa buah negeri lagi sebagai satu wadah perjuangan untuk memberi peluang kepada masyarakat memiliki buku yang menceritakan keperibadian dan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Sasterawan Negara, Azizi Abdullah, Dinsman dan Ketua Satu Persatuan Penulis Pulau Pinang, Anuar Ahmad adalah antara tetamu yang turut hadir pada majlis pelancaran buku tersebut.