Friday, February 11, 2011

Peniaga Akur Henti Operasi Pasar Malam Waktu Magrib

BALING- 
Langkah Majlis Daerah Baling (MDB) menguatkuasakan peraturan menutup selama 15 minit semua aktiviti pasar malam yang beroperasi dalam kawasan MDB akhirnya dapat dterima oleh para peniiaga.

Ketua Bahagian Undang-Undang dan Penguatkuasaan MDB, Mohd Hilmi Ghazali berkata, pada peringkat awal pelaksanaan ia mengalami sedikit kesukaran.
Namun begitu katanya, setelah sekian lama dilaksanakan, ramai yang telah memahami pelaksanaan undang-undang tersebut dan ia tidak lagi menjadi satu kesukaran kepada mereka.

Kata beliau, MDB dan penganjur pasar malam juga telah menyediakan tapak surau untuk peniaga dan orang ramai untuk memudahkan mereka mendirikan solat serta meneruskan urusan selepas itu.

"Memang diperingkat awal terdapat peniaga yang engkar, namun hasil penjelasan anggota MDB kenapa langkah itu diperkenalkan akhirnya mereka akur," kata beliau.

Peraturan supaya para perniaga menghentikan seketika aktiviti mereka di pasar malam dalam Daerah Baling telah diperkenal dan dikuatkuasakan mulai November lalu.

Langkah itu untuk memberi peluang kepada para peniaga yang beragama Islam menunaikan solat Magrib terlebih dahulu sebelum meneruskan aktiviti perniagaan mereka yang biasanya berakhir hampir jam 10 malam.

Dalam menguatkuasakan peraturan itu, lima minit sebelum masuk waktu maghrib, anggota MDB yang bertugas akan memasang pembesar suara bagi melaungkan azan bagi menandakan waktu operasi di pasar malam ditutup untuk seketika.