Saturday, January 1, 2011

Tapak Warisan Dunia: Perusahaan Burung Walit Dilarang

GEORGETOWN, 31 Dis-
Aktiviti perusahaan burung walit tidak akan dibenarkan beroperasi lagi di Tapak Warisan Dunia oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bermula pada 1 Januari 2011 akan datang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri, Chow Kon Yeow, dengan larangan tersebut maka kesemua 78 pengusaha burung walit yang sedang beroperasi di tapak tersebut perlu menghentikan operasi mereka berkuatkuasa pada tarikh tersebut.

"Kesemua pengusaha tersebut perlu menghentikan operasi mereka dan mencari lokasi lain dalam tempoh tiga tahun mulai 1 Januari 2011 ini.

"Dalam jangkamasa tersebut, mereka juga tidak dibenarkan menggunakan alat rakaman bunyi. Semua struktur tambahan pada bangunan yang telah didirikan tanpa mendapat permit dari pihak berkuasa tempatan harus segera dirobohkan serta dipulihkan semula premis tersebut kepada keadaan asal, " katanya lagi.

Kata Chow, dari sejumlah 129 pengusaha burung walit yang terdapat di Pulau Pinang, hanya 78 sahaja yang terlibat dalam aktiviti di kawasan Tapak Warisan Dunia.

Pada 7 Julai 2008 yang lalu Georgetown dan Melaka telah mendapat pengiktirafan dari Jawatankuasa Mesyuarat Warisan Dunia sebagai Tapak Warisan Dunia.

Sehubungan itu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil insiatif bagi mengekalkan kawasan tapak tersebut dari dicemari oleh apa jua aktivtiti yang boleh mencemarkan imej dan kedudukan kawasan tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia.

PAS Turun Segala Jentera Untuk Menang

'MAJORITI UMNO BERKURANGAN'
TASEK GELUGOR, 1 Jan-

PAS perlu mempertahankan majoriti Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, yang telah berjaya diperolehi dalam pilihan raya umum yang lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ketika berucap dalam ceramah anjuran PAS kawasan Tasek Gelugor di Dewan Besar Sungei Dua, kelmarin.
Menurut beliau, walaupun Dun Tenang adalah kubu kuat Umno, ia tidak menjadi satu permasalahan besar kerana berdasarkan kepada senario politik terkini, rakyat inginkan perubahan dari takuk lama.

"Walaupun mereka telah memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya 2004 dan 2008 yang lalu, tetapi majoriti yang Umno perolehi telah berjaya dikurangkan pada kedua-dua pilihan raya umum tersebut.

"Majoriti yang diperolehi ini juga mempengaruhi sokongan yang diterima oleh parti yang bertanding. Oleh kerana itu maka PAS akan berusaha untuk memenangi kerusi tersebut dengan menurunkan segala jentera yang ada bagi memastikan tiada jalan mudah bagi Umno BN dalam PRK kali ini," ujarnya lagi.

Dalam PRU 2004 yang lalu calon BN, Datuk Sulaiman Taha berjaya memperolehi kemenangan apabila mengalahkan calon PAS, Mohd Sain Siran dengan majoriti sebanyak 5,517 undi.
Namun begitu dalam PRU 2008 pula menyaksikan jumlah majoriti yang diperolehi oleh BN telah berkurangan kepada 2,492 undi sahaja.

"Ini membuktikan PAS mampu untuk membuat perubahan seterusnya dalam PRK yang akan diadakan pada 30 Januari yang akan datang, " tegasnya lagi.